Ketua Pemuda UMNO Mersing meninggal dunia

Astro Awani
Oktober 20, 2021 21:19 MYT
Allahyarham Azmir menghembuskan nafas terakhir pada jam 4.25 petang tadi. - Gambar/ Facebook Azmir Zainal Abidin
JOHOR BAHRU: Ketua Pemuda UMNO Bahagian Mersing, Azmir Zainal Abidin disahkan meninggal dunia di Hospital Sultan Ismail di sini, pada usia 40 tahun ketika menerima rawatan akibat tekanan darah tinggi.
Perkara itu disahkan Ketua Pemuda UMNO Johor, Mohd Hairi Mad Shah yang memaklumkan Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada jam 4.25 petang tadi.
“Kami reda ya Allah.. aku kehilangan orang kepercayaan seorang lagi sahabat yang banyak membantu dan meringankan bebanan aku.
“Al-Fatihah buat Azmir Zainal Abidin. Semoga Allahyarham ditempatkan bersama orang-orang yang beriman,” kata Hairi menerusi kenyataan di Facebook pada Rabu.
Allahyarham sebelum ini pernah memegang beberapa jawatan dalam pelbagai kumpulan politik dan badan bukan kerajaan (NGO) termasuk Penolong Setiausaha Pemuda UMNO Johor, Ketua Gerakan Belia 4B Malaysia (4B) dan Presiden Majlis Gabungan Belia Mersing.
Untuk makluman, Allahyarham merupakan anak sulung kepada bekas ADUN Endau yang juga bekas Exco kerajaan negeri, Datuk Zainal Abidin Osman.
Allayharham meninggalkan seorang isteri dan dua anak perempuan.
Jenazah dijangka dikebumikan di tanah perkuburan Muslim Bukit Aliff dekat Tampoi pada Khamis pagi.
#Ketua Pemuda UMNO #Mersing #meninggal dunia #Azmir Zainal Abidin
;