Ketua Pemuda UMNO gesa PM pecat menteri buat kecoh di KLIA

Sinar Harian
Jun 30, 2023 17:38 MYT
Dr Muhamad Akmal berkata, ia kerana tiada siapa pun boleh mengatasi undang-undang walaupun siapa dan apa sekalipun jawatan mereka. - Gambar fail
SHAH ALAM : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diminta mengambil tindakan tegas termasuk melucutkan jawatan seorang menteri yang didakwa membuat kecoh di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, ia kerana tiada siapa pun boleh mengatasi undang-undang walaupun siapa dan apa sekalipun jawatan mereka.
"Saya mohon Perdana Menteri untuk mengambil tindakan terhadap kelakuan menteri yang tidak wajar ini.
"Seharusnya (individu itu) dilucutkan jawatan sebagai menteri," katanya menerusi kenyataan di Facebook pada Rabu.
Media terdahulu melaporkan tular di media sosial seorang menteri didakwa menceroboh masuk ke dewan ketibaan antarabangsa KLIA bagi membebaskan seorang pelawat China yang ditahan Jabatan Imigresen.
Dalam kejadian petang Khamis itu, menteri terbabit didakwa masuk ke dewan ketibaan tanpa memohon pas keselamatan dan dipercayai bertindak sedemikian bagi 'menyelamatkan' seorang wanita warga China yang tidak dibenarkan memasuki negara ini sebaik tiba di lapangan terbang berkenaan.
Mengulas lanjut, Muhamad Akmal menegaskan, perbuatan menteri terbabit sama sekali tidak boleh diterima oleh semua rakyat Malaysia.
"Menteri bukan bermakna kamu boleh melakukan apa sahaja, menteri bermakna kamu perlu bekerja dan melaksanakan amanah rakyat bukan sebaliknya," ujarnya. - Sinar Harian
#menteri buat kecoh #KLIA #Pemuda UMNO #pecat
;