Ketua Pemuda Pas Selangor positif COVID-19

Astro Awani
Mei 7, 2021 09:08 MYT
Hanafi yang sedang menjalani kuarantin di MAEPS terpaksa dipindahkan ke Hospital Sungai Buloh akibat demam berpanjangan dan badan semakin lemah. - Facebook Hanafi Zulkapli
KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda Pas Selangor, Hanafi Zulkapli yang disahkan positif COVID-19 dipindahkan ke Hospital Sungai Buloh akibat demam berpanjangan dan badan semakin lemah.
Ketua Pemuda Pas, Khairil Nizam Khirudin berkata Hanafi yang sebelum ini menjalani proses kuarantin di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang.
"Saya dapat berita yang menyedihkan hati pada malam semalam dan kalau diikutkan hati, saya nak ke Hospital Sungai Buloh sekarang juga.
"Hanafi yang sedang menjalani kuarantin di MAEPS terpaksa dipindahkan ke Hospital Sungai Buloh akibat demam berpanjangan dan badan semakin lemah.
"Saya menjadi saksi bahawa beliau adalah petugas dan pimpinan jemaah yang sangat komited menjaga dan menggerakkan jemaah di kala pagi, petang, siang dan malam," katanya dalam catatan di laman Facebooknya pada Jumaat.
Sumber Facebook IrKhairilNizam
Dalam pada itu, Khairil turut berdoa agar tuhan sentiasa melindungi semua dari wabak COVID-19.
"Ya Allah, engkau sembuhkanlah sahabat seperjuangan saya ini dan kesemua mereka yang terjejas dengan virus COVID-19.
"Lindungilah kami dan angkatlah wabak ini," ujarnya.
#ketua pemuda pas selangor #Hanafi Zulkapli #positif COVID-19 #Hospital Sungai Buloh #demam #COVID-19 #Khairil Nizam Khirudin
;