Ketua Pembangkang DUN Melaka letak jawatan

Bernama
Oktober 8, 2013 10:30 MYT
Pengerusi DAP Melaka Goh Leong San bertindak meletak jawatan sebagai Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.
Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong itu bagaimanapun enggan menjelaskan sebab beliau berbuat demikian.
"Tanyalah Adun Kota Laksamana (Lai Keun Ban) dan Ayer Keroh (Khoo Poay Tiong) kenapa saya letak jawatan," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Sementara itu Speaker DUN Melaka Datuk Othman Muhamad ketika ditemui Bernama, mengesahkan perkara berkenaan.
"Goh menyerahkan surat peletakan jawatannya itu kepada saya pada pukul 12 tengah hari tadi. Peletakan jawatan itu berkuat kuasa hari ini," katanya.
Menurut Othman, Goh bagaimanapun tidak menyatakan sebab beliau berbuat demikian.
Sebuah akhbar berbahasa Inggeris sebelum ini melaporkan Goh mendakwa terdapat campur tangan pemimpin pusat parti itu dalam urusan DAP Melaka, menyebabkan berlaku perpecahan dalam kalangan pemimpin dan anggota DAP di negeri itu.
#DAP #goh leong san #Melaka