Ketua pegawai eksekutif TV Alhijrah meninggal dunia
Haider Yutim
November 10, 2013 11:52 MYT
November 10, 2013 11:52 MYT
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TV AlHijrah, Datuk Bukhari Che Muda, 57, meninggal dunia akibat penyakit kanser awal pagi ini.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Subang Jaya Medical Center (SJMC), pada jam 6.08 pagi tadi.
Allahyarham yang berasal dari Pasir Puteh, Kelantan, meninggalkan seorang isteri, Datin Suriyati Daud, 52 serta tiga anak perempuan dan seorang anak lelaki.
Allahyarham juga pernah berkhidmat dengan TV9 sebagai Ketua Pegawai Operasi sebelum menjadi CEO di TV AlHijrah.
Jenazah Allahyarham tiba di pekarangan rumahnya di Seksyen 7, Shah Alam jam 8.10 pagi dan, dimandikan di rumahnya sebelum dibawa ke Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah untuk disembahyangkan dan dikebumikan selepas solat Zohor.
Allahyarham dilaporkan akan dikebumikan di tanah perkuburan Islam di Seksyen 21.
TV AlHijrah merupakan saluran televisyen digital Islam yang pertama di Malaysia dan beroperasi dari Pusat Islam, Kuala Lumpur.