Ketua Microsoft Gaming sahkan konsol mudah alih Xbox sedang dibangunkan
Amanz
November 14, 2024 12:50 MYT
November 14, 2024 12:50 MYT
KONSOL permainan mudah alih ialah siri peranti yang kini semakin popular dalam kalangan gamer, khususnya mereka yang mahukan kebolehan memainkan permainan-permainan PC kegemaran mereka tidak kira di mana mereka berada.
Ringkasan AI
- Konsol permainan mudah alih semakin popular dalam kalangan gamer yang ingin bermain permainan PC kegemaran mereka di mana sahaja.
- Microsoft sedang membangunkan konsol mudah alih di bawah jenama Xbox, yang akan merumahkan sistem operasi Windows 11 dan menjiwai jenama Xbox.
- Microsoft perlu bersaing dengan jenama lain seperti ASUS, MSI, dan Lenovo yang sudah memperkenalkan generasi kedua konsol PC mudah alih mereka.
Syarikat-syarikat seperti ASUS, MSI, Lenovo dan sebagainya sudah pun memperlihatkan penawaran konsol PC mudah alih mereka tersendiri.
Baru-baru ini, Phil Spencer, CEO Microsoft Gaming mengesahkan bahawa Microsoft juga sedang membangunkan konsol mudah alih di bawah jenama Xbox.
Dalam sebuah wawancara bersama Bloomberg, beliau mengatakan Microsoft mahu membina sebuah konsol yang bukan hanya sebuah peranti padat yang merumahkan sistem operasi Windows 11, tetapi sebuah konsol yang menjiwai Xbox sebagai sebuah jenama gaming yang digunakan berjuta-juta pengguna.
Beliau mengatakan bahawa konsol mudah alih tersebut kini sedang berada dalam fasa prototaip, tetapi buat masa ini ia mungkin hanyalah prototaip dari segi binaan rangka konsol tersebut.
Beliau juga mengatakan bahawa konsol mudah alih ini dijangka diperkenalkan dalam masa beberapa tahun lagi.
Perkara ini cukup menarik kerana jenama-jenama seperti ASUS, MSI dan Lenovo semuanya sedia memperkenalkan generasi kedua konsol PC mudah alih mereka tidak lama lagi, dan Microsoft mungkin perlu mengejar mereka untuk memastikan penawaran mereka tidak luput ditelan zaman sebelum memasuki pasaran. -Amanz