Ketua Menteri tidak yakin penemuan harta karun
Astro Awani
Mei 2, 2014 16:47 MYT
Mei 2, 2014 16:47 MYT
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron tidak yakin dua keping syiling lama yang ditemui malam Rabu datangnya dari kawasan pencarian harta karun di Pulau Nangka.
Menurutnya, ada kemungkinan syiling berkenaan tercicir atau dicicirkan di kawasan berkenaan.
Bagaimanapun, beliau sudah mengarahkan Perbadanan Muzium Melaka untuk menyerahkan syiling itu kepada Jabatan Warisan Negara untuk diuji kesahihannya sama ada ia diperbuat daripada emas atau bahan logam lain selain usianya.
Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan delegasi daripada ‘Ship for South East Asian Youth Programme’ di Seri Bendahara, Ayer Keroh.
Sementara itu Idris berkata, Melaka terus unggul sebagai destinasi pelancongan popular apabila mendapat perhatian masyarakat negara dan dunia mengenai misi pencarian harta karun di pulau terbabit sejak sebulan lalu.
Berita harta karun yang dipercayai wujud di pulau terbabit sudah menjadi buah mulut khususnya rakyat tempatan sejak sekian lama dan kerja-kerja pencarian kira-kira 30 tahun dilakukan lalu tanpa pengetahuan umum.
Tindakan Kerajaan Negeri yang sedia berkongsi bersama masyarakat mengenai kerja pencarian dijalankan kini sekurang-kurangnya akan membuatkan pihak bertanggungjawab lebih berhati-hati dalam usaha dilaksanakan.