Ketua Menteri Sabah santuni belia ke tayangan 'Mat Kilau'

Abdul Hafiz Mustadi
Julai 14, 2022 09:00 MYT
Kalangan belia tidak melepaskan peluang bergambar bersama Hajiji ketika tayangan filem "Mat Kilau" di panggung GSC Suria Sabah semalam. -Astro AWANI
KOTA KINABALU: Kemeriahan tayangan filem Mat Kilau di panggung GSC Suria Sabah semalam dihangatkan lagi dengan kehadiran santai Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.
Beliau yang tiba pada pukul 8.30 malam sebelum tayangan bermula disambut meriah oleh anak-anak muda sekitar Kota Kinabalu yang turut hadir menyaksikan tayangan filem yang menjadi fenomena di seluruh negara itu.
Menurut Presiden Majlis Belia Sabah (MBS), Abqaree Fawwaz Abekan, program tersebut telah dirancang lebih awal dan jemputan telah diberikan kepada Ketua Menteri.
Namun, mengambil kira kekangan masa dan komitmen kerja pemimpin nombor satu Sabah itu, beliau tidak meletakkan harapan tinggi Ketua Menteri Sabah itu akan dapat menghadirkan diri.
"Kita sudah rancang awal program ini di bawah MBS.
"Kita jemput Ketua Menteri sebab belia kita mahu mengenali beliau dengan lebih dekat. Cuma kita tidak letak harapan dia akan hadir sebab kita faham komitmen beliau sebagai pemimpin.
"Bila dia hadir malam ini dengan Menteri KBS dan beberapa pemimpin lain, semua nampak teruja sebab ini program belia, kita rasa dihargai," Abqaree berkata.
Kesempatan pada malam itu dimanfaatkan oleh belia yang hadir dengan mengambil gambar dan beramah mesra dengan Ketua Menteri sebelum tayangan "Mat Kilau" bermula.
Turut hadir bersama Hajiji ketika tayangan itu, Menteri Belia dan Sukan Sabah Datuk Ellron Alfred Angin dan Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim.
#Mat Kilau #Hajiji Noor #Abqaree Fawwaz Abekan #Majlis Belia Sabah
;