Ketua Menteri P.Pinang saman Tan Kok Ping berhubung kenyataan jual tanah

Bernama
Januari 4, 2024 18:29 MYT
Chow berkata tindakan saman fitnah itu diputuskan susulan tiada percubaan oleh Tan untuk meminta maaf atau menarik balik kenyataannya. - Foto Sinar Harian
GEORGE TOWN: Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow memfailkan saman fitnah terhadap Presiden Kehormat Seumur Hidup Dewan Perniagaan Tionghua Pulau Pinang (PCCC) Tan Sri Tan Kok Ping berhubung kenyataannya mengenai penjualan tanah negeri tahun lepas.
Chow berkata tindakan saman fitnah itu diputuskan susulan tiada percubaan oleh Tan untuk meminta maaf atau menarik balik kenyataannya.
"Peguam saya sudah mengestrak salinan writ dan pernyataan tuntutan berhubung kes tersebut petang semalam dan salinan itu akan disampaikan kepada Tan berhubung kenyataan fitnah yang dibuat beliau semasa sidang media anjuran PCCC pada 18 Okt tahun lepas," kata Chow dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Chow, Tan telah menggunakan kapasitinya sebagai presiden kehormat seumur hidup PCCC untuk mengadakan sidang media berhubung perjanjian pembangunan bersama bertarikh 27 Sept tahun lepas untuk projek pembangunan yang dicadangkan antara Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) dan UMECH Land Sdn Bhd.
"Walaupun penamatan perjanjian itu telah diumumkan oleh PDC kepada media dan orang ramai pada 16 Okt tahun lepas, Tan dengan sengaja membuat kenyataan fitnah dalam bahasa Mandarin semasa sidang media itu bertujuan untuk menyerang watak, kredibiliti, kecekapan dan keupayaan saya sebagai ketua menteri dan sebagai pengerusi PDC," katanya.
Chow mendakwa kenyataan fitnah itu kemudian dicetak dan diterbitkan dalam beberapa akhbar berbahasa Cina terkemuka.
Beliau berkata Mahkamah Tinggi Pulau Pinang telah menetapkan pengurusan kes saman itu pada 24 Jan.
Bagaimanapun, percubaan Bernama untuk mendapatkan reaksi Tan gagal.
Pada Oktober tahun lepas, Majlis Mesyuarat Kerajaan Pulau Pinang memutuskan sebulat suara supaya Chow memulakan prosiding undang-undang terhadap Tan atas kenyataannya yang mengaibkan dan menjatuhkan maruah ketua menteri.
Dilaporkan tahun lepas Tan menuduh Chow sebagai "tidak cekap" kerana mengelak persoalan mengenai kontroversi penjualan tanah milik PDC di Byram kepada UMECH Land Sdn Bhd.
-- BERNAMA
#Ketua Menteri Pulau Pinang #Chow Kon Yeow #fail saman fitnah #Tan Kok Ping
;