Ketua Menteri Melaka kesal Hang Tuah masih ditolak tanpa bukti kukuh

Bernama
Mei 19, 2016 18:25 MYT
IDRIS: Jadi kalau tuan-tuan kata Hang Tuah tidak wujud bawalah dalil tuan-tuan. - fotoBERNAMA
Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron hari ini kesal apabila masih ada lagi pihak yang mahu menyangkal kewujudan Hang Tuah tanpa mengemukakan bukti kukuh.
Idris berkata, apa yang lebih dikesalkan, ada pihak terutamanya di media sosial mengatakan dirinya percaya cerita dongeng seperti Snow White dan Panglima Komeng, hanya kerana isu tersebut.
"Ini menceritakan sesuatu yang ada kepada tidak ada, maka apa dalil kamu kata Hang Tuah tidak wujud, sudah pasti dia terpaksa berlawanan dengan dalil kita (mengatakan Hang Tuah wujud).
"Kita buat kerja (mengkaji kewujudan Hang Tuah), sampai sahaja dia kata anda buat semua ini tidak boleh pakai, tetapi apa dalilnya ini tidak boleh pakai?
"Dia kata tak payah asas, hanya tidak boleh pakai, kita kata ini mana boleh," katanya di sini hari ini.
Terdahulu beliau berucap merasmikan Seminar Antarabangsa Ketokohan Panglima Awang di sini yang turut dihadiri Presiden Dunia Melayu Dunia Islam Tan Sri Mohd Ali Rustam dan Pengerusi Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia (Iksep) Prof Datuk Dr Mohd Jamil Mukmim.
Idris dalam laporan khas Bernama mengenai Hang Tuah pada 9 Mei lepas berkata Hang Tuah bukan figura mitos serta meminta pihak yang menafikan kewujudannya mengemukakan bukti kukuh.
Laporan itu juga menyebut Mohd Jamil bersama-sama pasukannya mengkaji laluan pahlawan lagenda itu dari Melaka ke Pahang.
Idris berkata Hang Tuah wujud kerana urutan cerita mengenai legenda Melayu itu tidak mungkin boleh direka tanpa berlaku cetusan peristiwa.
"Ketara dan sukar diperikan, kita dapat merasai kampung asal Hang Tuah (Kampung Duyong di sini), Jalan Hang Tuah, pakaian apa dan keris apa digunakan Hang Tuah.
"Jadi kalau tuan-tuan kata Hang Tuah tidak wujud bawalah dalil tuan-tuan," katanya.
Jamil dalam ucapannya berkata Iksep telah menyelesaikan kajian awal tentang Jalan Penarikan yang menjadi laluan perdagangan dan keagamaan antara pantai timur dan barat semenanjung.
"Ia juga menjadi laluan antara Melaka dan Pahang, yang mana menjadi laluan Hang Tuah dan Tun Teja suatu masa dahulu. Kita akan bentangkan hasil kajian awal ini nanti," katanya.
#Hang Tuah #idris haron #Melaka
;