Ketua Menteri Melaka jumpa keluarga selepas dilantik

Fareez Azman
Mac 9, 2020 11:01 MYT
Sulaiman menjadi anak Masjid Tanah kedua dilantik sebagai Ketua Menteri Melaka selepas Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik pada tahun 1982 hingga 1994. - Foto Astro AWANI
Sejurus selepas mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka ke-12, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu, Datuk Sulaiman Md Ali tidak lupa untuk mendapatkan restu ibunya di kediaman keluarganya di Kampung Durian Daun, di sini pada petang Isnin.
Kehadiran Ketua Menteri itu disambut meriah penduduk kampung serta diiringi paluan kompang di perkarangan kediamannya itu.
Selepas bersalaman bersama penduduk, Sulaiman kemudiannya bertemu ibundanya Hajah Temah Abu, 85, ditemani isterinya Datin Munira M Yusop.
Sulaiman menjadi anak Masjid Tanah kedua dilantik sebagai Ketua Menteri Melaka selepas Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik pada tahun 1982 hingga 1994.
Beliau yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka itu, antara pemimpin yang bersih serta berjiwa rakyat sejak menjadi wakil rakyat di Lendu sejak tahun 2008.
Terdahulu, Sulaiman mengangkat sumpah di hadapan Tuan Yang Terutama, Yang Di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob sebagai Ketua Menteri Melaka ke-12 disaksikan 17 Ahli Dewan Undangan Negeri Gabungan Perikatan Nasional (GPN) Melaka.
#ADUN #Ahli Dewan Undangan Negeri ADUN Lendu #Kampung Durian Daun #Ketua Menteri #Ketua Menteri Melaka #Masjid Tanah #Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka #Sulaiman Md Ali