Ketua keluarga dicadang buat potongan gaji, bayar emolumen kepada suri rumah

Bernama
Mei 14, 2023 19:06 MYT
Nancy berkata cadangan ini adalah cara mengiktiraf pekerjaan tidak berbayar sebagai pekerjaan, antara lain bertujuan memperkasa ekonomi wanita. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Naib Ketua Wanita Parti Pesaka Bersatu Sarawak (PBB) Datuk Seri Nancy Shukri mencadangkan ketua keluarga untuk membuat potongan gaji untuk membayar emolumen kepada ahli keluarga yang mengurus rumahtangga, khususnya wanita.
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata cadangan ini adalah cara mengiktiraf pekerjaan tidak berbayar sebagai pekerjaan, antara lain bertujuan memperkasa ekonomi wanita.
"Ramai yang bekerja di rumah itu tidak dibayar, mereka menjaga keluarga tapi ada juga suami yang menjadi pengurus di rumah dan juga ibu bapa mengurus di rumah, (mereka) tak ada gaji.
Kalau dapat kita iktirafkan pekerjaan tidak berbayar (ini) dan mintalah anak atau suami, kita minta izin supaya mereka boleh potong gaji," katanya.
Selain itu, beliau berkata peluang pekerjaan yang bersesuaian dengan gaji bertepatan untuk golongan wanita perlu diwujudkan termasuk pelaksanaan dasar 30 peratus penglibatan wanita sebagai pembuat keputusan.
"Marilah kita bersama-sama menjadikan dasar 30 peratus wanita ini dijadikan satu kenyataan, pastikan ia terlaksana.
Jangan cakap sahaja, 30 peratus wanita dalam pembuat keputusan... memang ia dasar yang lama tetapi keberkesanannya perlu kita pertingkatkan," katanya.
Beliau turut mengingatkan pemimpin dan parti-parti yang mendukung Kerajaan Perpaduan untuk menjalankan tugas dengan baik, turun padang untuk melihat keperluan setiap negeri sekali gus memahami denyut nadi rakyat.
Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan yang diadakan buat julung kali membuka tirainya dengan Konvensyen Nasional Wanita Kerajaan Perpaduan dan Konvensyen Nasional Pemuda Kerajaan Perpaduan, yang diadakan secara serentak pagi ini.
Kemuncak konvensyen yang bertemakan "MADANI: Mengangkat Agenda Rakyat" ialah amanat yang akan disampaikan Pengerusi Sekretariat Kerajaan Perpaduan iaitu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebelum diakhiri dengan pelancaran Tekad Bersama.
-- BERNAMA
#Kerajaan Perpaduan #wanita #memperkasa ekonomi #mengiktiraf pekerjaan
;