Ketua kaum, masyarakat jadi 'jambatan' antara rakyat dan kerajaan negeri - Awang Tengah

Bernama
November 13, 2021 22:44 MYT
Menurut Awang Tengah, pemimpin di peringkat komuniti itu perlu peka dengan masalah serta keperluan rakyat, seterusnya melaporkan kepada kerajaan menerusi jabatan dan agensinya untuk bantuan selanjutnya. - Gambar fail
LAWAS: Setiap Ketua Kaum (KK) dan Ketua Masyarakat (KM) perlu memainkan peranan mereka sebagai penghubung antara rakyat dengan kerajaan negeri, kata Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Tegasnya, KK dan KM adalah 'jambatan' antara pucuk pentadbiran dengan akar umbi, untuk memastikan semua agenda pembangunan serta bantuan yang disediakan kerajaan Sarawak, dapat disalurkan dan sampai terus kepada rakyat.
Jelasnya, pemimpin di peringkat komuniti itu perlu peka dengan masalah serta keperluan rakyat, seterusnya melaporkan kepada kerajaan menerusi jabatan dan agensinya untuk bantuan selanjutnya.
"Menjadi tanggungjawab KK dan KM memastikan semua dasar, polisi dan bantuan kerajaan sampai serta dinikmati oleh rakyat dengan menerangkan kepada mereka. Kita tak mahu rakyat susah terus susah.
"KK dan KM juga perlu aktif dan mempunyai data yang lengkap mengenai kampung mereka agar mudahkan kita kenal pasti keperluan anak buah dan bantuan yang boleh disalurkan," katanya kepada Bernama selepas mengadakan perjumpaan bersama KK dan KM bagi Dewan Undangan Negeri Bukit Sari, di Lawas hari ini.
Tegas Awang Tengah, KK dan KM yang dilantik harus memikul tanggungjawab, amanah, kepercayaan yang diberikan oleh rakyat dengan sebaiknya.
Katanya pemimpin di peringkat masyarakat juga berperanan sebagai sumber rujukan rakyat terutama dalam menyebarkan maklumat yang tepat mengenai bantuan dan dasar kerajaan negeri.
-- BERNAMA
#ketua kaum #Ketua masyarakat #jambatan rakyat #kerajaan negeri #Sarawak #Awang Tengah Ali Hasan
;