Ketua Jururawat rugi RM16,000 ditipu Macau Scam menyamar LHDN

Aida Aziz
Ogos 2, 2022 15:27 MYT
Seorang Ketua Jururawat kerugian RM16,000 akibat terpedaya dengan sindiket penipuan yang menyamar sebagai pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) semalam.
TELUK INTAN: Seorang Ketua Jururawat di sebuah hospital di sini kerugian RM16,000 akibat terpedaya dengan sindiket penipuan yang menyamar sebagai pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) semalam.
Mangsa berumur 47 tahun itu menerima panggilan sekitar pukul 1 tengah hari semalam daripada pemanggil kononnya dari LHDN dan mendakwa wanita itu mempunyai tunggakan cukai berjumlah RM200,000.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, mangsa bagaimanapun menafikannya sebelum panggilan itu disambungkan kononnya ke pihak polis bagi membuat laporan.
"Mangsa kemudian diminta oleh sindiket untuk memindahkan wang yang ada dalam dua akaun bank, berjumlah RM10,000 dan RM6,000 ke akaun sindiket kononnya bagi memastikan wang simpanan tersebut tidak terlibat dalam mana-mana kes penggubahan wang haram," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Ahmad Adnan berkata, pindahan wang itu dilakukan dengan menggunakan perbankan internet.
Katanya lagi, mangsa telah memindahkan semua wang simpanan berjumlah RM16,000 ke akaun sindiket tersebut.
"Mangsa ditanya jika ada mana-mana akaun lain untuk dibuat semakan oleh sindiket.
"Mangsa memberitahu dia ada satu lagi akaun bank tetapi tiada wang di dalamnya.
"Pihak sindiket memaksanya dedahkan juga maklumat perbankan bank tersebut tetapi mangsa tidak mahu berikannya dan terus memutuskan panggilan tersebut kerana merasai dirinya tertipu," katanya lagi.
Beliau berkata, mangsa hadir ke Balai Polis Teluk pukul 9 malam tadi untuk membuat laporan berhubung kejadian itu.
Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Beliau sekali lagi menasihatkan orang agar tidak mudah percaya kepada sebarang panggilan telefon yang tidak dikenali.
Tegasnya lagi, mana-mana agensi kerajaan yang berlainan, tidak akan menyambungkan sebarang panggilan telefon yang dibuat ke atas orang awam kepada agensi berbeza dalam satu panggilan sama.
#Ketua Jururawat #Macau Scam #LHDN #tunggakan cukai
;