Ketua jabatan gagal lapor salah laku pegawai bawahan berdepan tindakan tatatertib - PM

Bernama
Ogos 16, 2024 16:05 MYT
Anwar berkata tanggungjawab ketua jabatan untuk memperkukuhkan integriti dan tatakelola dalam Perkhidmatan Awam. - Gambar/ Bernama
PUTRAJAYA: Perdana Menteri hari ini memberi memberi peringatan serius bahawa ketua jabatan yang gagal melaporkan salah laku pegawai bawahannya akan dikenakan tindakan tatatertib termasuk tidak dinaikkan pangkat.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ini kerana tanggungjawab ketua jabatan untuk memperkukuhkan integriti dan tatakelola dalam Perkhidmatan Awam.
"Ketua jabatan yang gagal melaporkan salah laku pegawai bawahannya akan dikenakan tindakan tatatertib dan seterusnya, menjejaskan peluang kenaikan pangkat.
"Kerana ada (kes) guru besar.. nak jaga imej sekolah, pelajar didera tetapi tidak dilaporkan kepada polis. Ada ketua jabatan tahu pegawainya punya kekayaan yang lebih, tapi tidak dilaporkan. Kalau ini terbukti dia (ketua jabatan) tidak melaporkan, maka ketua jabatan ini tidak akan dinaikkan pangkat.
Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) ke-19 bertemakan 'Perkhidmatan Awam MADANI', di sini hari ini.
Sehubungan itu, beliau berkata ketua jabatan perlu melaksanakan pusingan kerja secara berterusan bagi mengelakkan berlakunya kes salah laku dalam kalangan pegawai awam.
"Kadang-kadang, apabila ditempatkan di satu tempat terlalu lama, seseorang menjadi biasa dengan amalan lama. Contohnya di perbatasan, lapangan terbang, pelabuhan, mesti ada pusingan kerja yang cepat untuk memantau prestasi mereka," katanya, menambah langkah ini dapat memastikan kenaikan pangkat penjawat awam adalah berdasarkan tugas hakiki masing-masing.
Menyentuh mengenai nilai dan integriti yang menjadi tonggak perkhidmatan awam MADANI, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata beberapa perkara perlu diberi perhatian serius terutama sekali dalam aspek tatakelola pelaksanaan aktiviti, projek dan program kerajaan.
Katanya beliau juga sering menekankan pentingnya pembudayaan nilai serta tatakelola yang baik bagi mengukuhkan integriti, akauntabiliti, ketelusan dan keadilan dalam setiap aspek pengurusan dan pentadbiran organisasi perkhidmatan awam.
"Oleh sebab itu, banyak kali saya tekankan dan sebutkan kepada Yang Berbahagia Datuk Seri Ketua Setiausaha Negara dan Datuk Seri Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam bahawa tiada kenaikan pangkat bagi mana-mana ketua jabatan yang "tutup mata" terhadap kewujudan salah laku dan amalan rasuah dalam kalangan penjawat awam di bawah seliaannya. Ini tiada kompromi!," tegas perdana menteri.
Anwar berkata kerana itu, Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) dirangka bukan sekadar untuk pembaharuan dan peningkatan pendapatan boleh guna yang akan dinikmati oleh penjawat awam, tetapi juga sebagai satu sistem saraan yang berteraskan prestasi.
"Saya mahu mesejnya jelas supaya penjawat awam yang tidak menunjukkan prestasi kerja yang baik, culas, atau sering tidak hadir ke pejabat tanpa kelulusan ketua jabatan tidak akan diberikan ganjaran.Secara prinsipnya, kita mahu hanya mereka yang benar-benar layak sahaja akan diberikan ganjaran seperti yang dijanjikan," katanya.
Beliau juga menegaskan bahawa setiap ketua jabatan harus bertanggungjawab memantau dan memastikan prestasi penyampaian perkhidmatan pegawai di bawah seliaannya adalah setanding dengan kenaikan gaji yang akan diterima di bawah SSPA.
Perdana Menteri hari ini mengumumkan pelarasan gaji secara berfasa sebanyak 15 peratus kepada pegawai Kumpulan Pelaksana dan pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional, manakala pegawai Kumpulan Pengurusan Tertinggi akan menerima pelarasan sebanyak tujuh peratus.
Anwar berkata semua langkah bagi memperkasakan perkhidmatan awam itu perlu dilaksanakan sebelum perincian tentang kenaikan gaji di bawah SSPA dibentangkan dalam Belanjawan 2025 Oktober ini.
"Saya mahu cadangan-cadangan ini dilaksanakan sebelum (pembentangan) Belanjawan 2025 pada Oktober ini kerana pelaksanaan SSPA pada Disember 2024," katanya.
SSPA akan menggantikan Sistem Saraan Malaysia (SSM) berkuat kuasa 1 Dis ini.
-- BERNAMA
#Anwar Ibrahim #Perdana Menteri #Ketua Jabatan #Rasuah