Ketua isi rumah, individu bujang yang tercicir kini dapat bantuan BKSS
Fadilah Sulaiman
November 13, 2020 16:48 MYT
November 13, 2020 16:48 MYT
KUCHING: Kerajaan negeri meluluskan 122,000 rayuan permohonan ketua isi rumah dan individu bujang B40 bagi Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) dengan jumlah peruntukan RM143 juta.
Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, bagi 82,000 ketua isi rumah akan menerima RM250 setiap bulan selama enam bulan.
Katanya, sebahagian pembayaran akan dibuat dalam tahun ini dan selebihnya pada tahun hadapan.
“Saya dengan sukacitanya mengumumkan bayaran khas RM250 sebulan untuk tempoh enam bulan kepada 82,000 ketua isi rumah B40 yang telah berjaya dalam rayuan.
“Manakala 40,000 individu bujang B40 yang berjaya dalam rayuan akan dibayar secara one-off RM500. Pembayaran akan dibuat pada bulan Disember 2020,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ucapan penggulungan Belanjawan Sarawak 2021 di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada Jumaat.
Jelas Abang Johari, insentif BKSS itu merupakan bantuan tertinggi kerajaan negeri dan kedua terbesar selepas bantuan Prihatin Nasional.