Ketua Hakim Negara terima bintang Selangor

Bernama
Februari 7, 2013 13:00 MYT
Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S) yang membawa gelaran 'Datuk Seri' kepada Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria, di Istana Bukit Kayangan di sini.
Baginda turut berkenan menganugerahkan Darjah Kebesaran Datuk Paduka Mahkota Selangor (D.P.M.S) yang membawa gelaran 'Datuk' kepada Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Panglima Zulkifli Zainal Abidin.
Pengurniaan itu adalah sempena ulang tahun keputeraan ke-67 Sultan Sharafuddin.
Istiadat itu diadakan hari ini berikutan Arifin dan Zulkifli tidak dapat hadir pada istiadat penganugerahan darjah dan bintang kebesaran Selangor di Istana Alam Shah, Klang, pada 11 Disember lepas kerana bertugas di luar negara.
Seramai 98 individu menerima darjah dan bintang kebesaran negeri Selangor sempena ulang tahun hari keputeraan baginda.
#Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor #Ketua Hakim Negara #Sultan Sharafuddin Idris Shah #ulang tahun hari keputeraan
;