Ketua geng pecah rumah 'Matruji' mati berbalas tembak dengan polis

Bernama
Disember 25, 2013 17:03 MYT
Seorang warga asing yang mengetuai kumpulan samun dan pecah rumah 'Matruji' maut dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis, di Taman Mas di sini Selasa malam.
Geng yang diketuai suspek berusia 43 tahun itu aktif sejak 2005 dan terbabit dalam sekurang-kurangnya 27 kes di Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang, serta merupakan antara geng penjenayah warga asing paling dikehendaki.
Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata dalam kejadian 9 malam itu, suspek dikenali sebagai Mat Ting War @ Matruji dikesan oleh polis peronda yang melihat sebuah kereta dalam keadaan mencurigakan.
"Semasa polis hendak membuat pemeriksaan, suspek terus melarikan diri ke arah belukar berhampiran. Suspek kemudian melepaskan beberapa tembakan ke arah polis menyebabkan anggota terbabit membalas tembakan berkenaan," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Katanya suspek maut di tempat kejadian dan pemeriksaan polis menemukan sepucuk pistol automatik jenis Vzor 70 cal 7.65 serta tiga butir peluru.
Abdul Rahim berkata pemeriksaan dalam but kereta suspek menemukan satu pemotong besi besar dan kuku kambing, dipercayai untuk kegiatan jenayah.
Kereta itu juga dilapor hilang di Sikamat, Negeri Sembilan pada Mei lepas, katanya.
Beliau berkata pemeriksaan lanjut mengenai suspek mendapati lelaki itu dipercayai pendatang tanpa izin serta pernah dipenjarakan dari 2009 hingga 2011 atas kesalahan samun.
Polis kini sedang mengesan anggota geng itu yang dipercayai antara empat dan enam orang, disyaki bersembunyi di Selangor, katanya.
#berbalas tembakan #jenayah #Matruji #pendatang tanpa izin #polis
;