Ketua DAPSY Woo Kah Leong dipilih Ketua Angkatan Muda Harapan baharu
Bernama
Mac 11, 2025 21:15 MYT
Mac 11, 2025 21:15 MYT
Ketua Jawatankuasa Eksekutif Kebangsaan Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Woo Kah Leong dipilih sebagai Ketua Angkatan Muda Harapan yang baharu. - Foto Facebook Woo Kah Leong
KUALA LUMPUR: Ketua Jawatankuasa Eksekutif Kebangsaan Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Woo Kah Leong dipilih sebagai Ketua Angkatan Muda Harapan yang baharu.
Angkatan Muda Harapan (AMH) dalam kenyataan berkata pemilihan Woo itu dibuat menerusi satu mesyuarat membabitkan semua komponen sayap pemuda parti dalam AMH hari ini.
Kenyataan itu turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada bekas Ketua AMH, Dr Kelvin Yii Lee Wuen atas jasa dan bakti beliau sepanjang menerajui kepimpinan itu.
"Kepimpinan beliau (Yii) telah menjadi tonggak penting dalam memperjuangkan aspirasi generasi muda dan memperkukuhkan peranan pemuda dalam politik arus perdana.
"Dengan kepimpinan baharu ini, Angkatan Muda Harapan komited meneruskan agenda reformasi dan bertekad untuk memperjuangkan hak dan kebajikan anak muda demi memastikan Kerajaan Perpaduan dan Pakatan Harapan (PH) terus mendukung suara anak muda dan kekal sebagai pilihan utama generasi muda," menurut kenyataan itu.
Pada masa sama, AMH memaklumkan akan menggembleng seluruh tenaga bagi memastikan kemenangan calon Kerajaan Perpaduan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, Perak dan calon-calon PH pada Plihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang akan datang.
-- BERNAMA