Ketua Biro Aduan Awam PN terima ugutan bunuh

Sinar Harian
Julai 24, 2024 05:50 MYT
Thow Siang (tengah) menunjukkan salinan laporan yang dibuat berkenaan ugutan diterima di Balai Polis Desa Cemerlang, Johor Bahru. - Foto Sinar Harian
JOHOR BAHRU: Ketua Biro Aduan Awam Perikatan Nasional (PN) Johor, Lim Thow Siang mendakwa meneriman ugutan tembak oleh sekumpulan 'scammer' yang aktif di bandar raya ini dan Singapura.
Thow Siang berkaa, ugutan terbabit diterimanya pada jam 4 petang, 18 Julai lalu selepas kira-kira tiga minggu mengendalikan beberapa kes berkaitan penipuan 'scammer'.
"Menerusi ugutan itu, individu tidak dikenali itu menyatakan tindakan saya membantu mangsa menjejaskan aktiviti mereka.
"Menerusi mesej dihantar dalam aplikasi WhatsApp, individu terbabit ugut untuk ancam keselamatan saya termasuk ingin memberikan 'kacang' bermaksud peluru atau tembak selain ugut membakar pejabat," katanya kepada pemberita pada Rabu.
Menurutnya, beliau tidak menolak kemungkinan 'scammer' tidak berpuas hati apabila menasihati mangsa agar mengabaikan segala ugutan diterimanya termasuk tidak membayar wang atau pampasan dituntut.
"Dalam tempoh tiga minggu ini, saya terima lima aduan berkaitan 'scammer' dan saya cuba membantu kesemua mangsa," katanya selepas membuat laporan polis di Balai Polis Taman Desa Cemerlang pada 19 Julai lalu.
Justeru, Thow Siang berharap pihak berkuasa terus memburu dan mengambil tindakan sesuai membanteras 'scammer' secara besar-besaran.
*Artikel disiarkan di Sinar Harian
#Ketua Biro Aduan Awam Perikatan Nasional Johor #Lim Thow Siang #ugutan bunuh #scammer #laporan polis #diugut tembak