Ketua badan berkanun, GLC: Tiada perubahan di Perak - Saarani

Abd Razak Mohd Ali
Disember 30, 2022 12:10 MYT
Saarani bercakap pada sidang media pada Majlis Penyampaian Dana Pendidikan Negeri Perak dan Penyerahan Insentif Kecemerlangan Sukan di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh, hari ini. --fotoBERNAMA
IPOH: Perak tidak berhasrat untuk menukar individu yang mengetuai syarikat berkaitan kerajaan serta badan berkanun ekoran perubahan kerajaan negeri pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.
Ini kerana, Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kerajaan negeri berpuas hati dengan prestasi yang mereka tunjukkan.
Tambahan pula, katanya, beliau masih Menteri Besar selepas PRU15.
"Saya berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan oleh CEO (Ketua Pegawai Eksekutif) kita di PKNP (Perbadanan Kemajuan Negeri Perak), MB Inc (Menteri Besar Incorporated), SADC (Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak), LAP (Lembaga Air Perak) yang mana saya jadi pengerusinya.
"Jadi, saya akan kekalkanlah lantikan mereka kerana ada banyak program yang telah kita bina bersama, yang telah kita lancarkan bersama. Kita buat retreat untuk penambahbaikan. Jadi, kita beri peluang kepada mereka untuk perform," katanya.
Beliau ditemui selepas penyampaian sumbangan dana pendidikan kepada pelari pecut negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi dan insentif kepada Pasukan Hoki Lelaki Perak di pejabatnya di sini, hari ini.
Menurutnya, semua perjawatan itu dilantik secara kontrak setiap dua tahun.
Malah, katanya, ada di antara kontrak perjawatan itu yang baharu disambung semula sebelum PRU15 lalu.
#Saarani Mohamad #Badan Berkanun #PRU15 #syarikat berkaitan kerajaan
;