Ketua Audit Negara puas hati penambahbaikan jabatan, GLC di Perlis
Bernama
Julai 31, 2017 17:35 MYT
Julai 31, 2017 17:35 MYT
Ketua Audit Negara berpuas hati dengan penambahbaikan dalam pelaksanaan program dan aktiviti dua jabatan dan sebuah syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC) yang diaudit antara September hingga Disember tahun lepas, menurut Laporan Ketua Audit Negara 2016 Siri 1.
Agensi tersebut ialah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan sebuah syarikat subsidiari Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri iaitu Perlis Marine Engineering Sdn Bhd (PME).
"Hanya aspek pengurusan pemberian Bantuan Am dan bantuan membaiki rumah yang dilaksanakan JKM sedikit lemah dan perlu diambil perhatian agar bantuan diberikan tidak melebihi golongan sasaran.
"Aspek pemantauan dan penyeliaan masih perlu dipertingkatkan dan dilakukan secara berterusan bagi bantuan yang diluluskan agar ia diberikan kepada penerima yang masih hidup, berkelayakan dan digunakan sebagaimana ditetapkan," menurut laporan audit berkenaan yang dibentangkan di Parlimen hari ini.
Laporan itu turut mengesyorkan agar agihan bantuan bina dan baik pulih rumah MAIPs kepada asnaf terutamanya berkenaan syarat permohonan bantuan, pemberian jenis bantuan dan pelantikan kontraktor, ditambah baik.
Penilaian prestasi kerja kontraktor dan kajian semula kos pembinaan juga perlu dilaksanakan bagi memastikan rumah yang disediakan kepada asnaf selamat diduduki dengan kualiti kerja yang baik.
Selain itu, laporan berkenaan menyebut tiada salah laku berkaitan PME dalam tadbir urus malah pengurusannya berpotensi dikembangkan dengan mengesyorkan ia mempertingkat kualiti aset dan fasiliti bagi meningkatkan keyakinan pengusaha kapal/bot untuk kerja penyenggaraan.
"PME juga disyor memastikan aktiviti pembinaan bot/kapal digerakkan semula selain bidaan harga dilakukan secara lebih kompetitif," tambah laporan itu.
Hasil pengauditan pengurusan kewangan berdasarkan Indeks Akauntabiliti terhadap lapan jabatan/agensi negeri juga memuaskan yang mana tiga jabatan mendapat penarafan tahap Cemerlang, empat jabatan/agensi negeri berada pada tahap Baik dan satu agensi negeri Tidak Memuaskan.
-- BERNAMA