Ketirisan pemberian geran bantuan petani tidak serius - Tajuddin

Abd Razak Mohd Ali
Februari 14, 2018 07:53 MYT
TAJUDDIN: Perkara ini tidaklah begitu serius seperti yang dilaporkan di dalam sebuah media.
Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani mengakui kemungkinan wujudnya ketirisan dalam pemberian geran bantuan kepada petani.
Bagaimanapun, ia tidaklah begitu serius seperti yang dilaporkan di dalam sebuah media.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, kementerian bersedia mengambil tindakan jika benar geran itu dieksplotasi sehingga melibatkan jutaan ringgit.
"Tuduhan yang dibuat tanpa ada kes tertentu yang dikemukakan, kalau ada, kita bersedia untuk mengambil tindakan, buatlah aduan, kita akan ambil tindakan.
"Tetapi keseluruhannya, saya rasa tak ada lah aduan yang orang kata begitu banyak sekali," katanya selepas merasmikan Karnival Peladang Jaya di pekarangan Pertubuhan Peladang Kawasan Kampung Gajah, Perak yang dihadiri hampir 5,000 orang, pada Rabu.
Hadir sama Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Tan Sri Zainal Dahlan, Ketua Pengarah LPP, Datuk Mohd Salim Taha, ADUN Kampung Gajah, Datuk Abdullah Fauzi Ahmad Razali dan Pengerusi Pertubuhan Peladang Negeri Perak, Datuk Nadzri Ismail.
Sebelum ini, media melaporkan peruntukan geran bantuan petani mengalami ketirisan mencecah jutaan ringgit setiap tahun berikutan segelintir kontraktor dikesan menaikkan harga barangan pertanian sebanyak 30 peratus untuk dibekalkan kepada petani yang layak me­nerima bantuan berkenaan.
Senario itu yang dikatakan berlarut­an sejak beberapa tahun lalu membolehkan kontraktor terbabit mengaut keuntungan melampau walaupun proses berkenaan dilakukan secara telus melalui permohonan tender.
Sebagai kesannya, sikap tamak golongan berkenaan secara jelas merugikan kumpulan petani ekoran jumlah bantuan berbentuk barangan yang diagihkan melalui program tersebut berkurangan daripada nilai sepatutnya.
Terdahulu, Tajuddin menasihatkan golongan petani luar bandar supaya keluar daripada kepompong untuk mencari pasaran yang lebih luas, termasuk keluar negara seperti di China dan India.
Dalam masa sama, beliau menasihatkan mereka supaya meneroka sektor pertanian baru, seperti durian dan tidak hanya kepada tanaman komoditi, khususnya kelapa sawit sahaja.
#bantuan #Geran #ketirisan #petani #Tajuddin Abdul Rahman