Ketika rakyat diseru 'duduk rumah', sekumpulan pemburu haram sasarkan hidupan liar di hutan

Qaisara Umaiyah
Mac 23, 2020 17:59 MYT
Kenderaan pacuan empat roda yang digunakan pemburu haram dalam aktiviti mereka di Hutan Simpan Ulu Segama. - PDRM
Ketika rakyat seluruh negara diminta patuh pada Perintah Kawalan Pergerakan dalam usaha memutuskan rantaian jangkitan COVID-19, ada segelintir pihak yang tidak mempedulikannya, malah melakukan pelanggaran undang-undang lain.
Seorang lelaki berusia 32 tahun ditahan sepasukan polis, Tiger Platoon, Team World Wildlife Fund dan Jabatan Hutan Sabah (JHS) dalam Ops Khazanah di Hutan Simpan Ulu Segama kira-kira 12.20 tengah malam Isnin kerana disyaki terlibat dalam pemburuan haram.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, pasukan operasi telah terserempak dengan sebuah kenderaan dinaiki beberapa orang dalam keadaan mecurigakan.
"Pasukan operasi mengejar kenderaan tersebut dan menjumpainya di dalam ladang kelapa sawit berhampiran Hutan Ulu Segama.
Pemeriksaan lanjut pada kenderaan terbabit menjumpai dua ekor bangkai rusa dan dua ekor bangkai pelanduk yang telah dibuang perutnya dipercayai hasil dari pemburuan haram," katanya.
Tambah Nasri, bangkai haiwan tersebut diletakkan di belakang kenderaan pacuan empat roda yang ditinggalkan.
"Kenderaan terbabit telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu. Pemeriksaan lanjut menjumpai beberapa barangan peribadi suspek seperti kad pengenalan dan lesen pemandu yang disimpan di dalam beg sandang. Turut dirampas, dua buah telefon bimbit dan pisau.
"Suspek telah datang menyerah diri ke IPD Lahad Datu pada 9.10 malam hari yang sama kerana disyaki terlibat dengan kes ini," katanya.
Jelas Nasri, hasil soal siasat mendapati, suspek mengaku melakukan perbuatan tersebut bersama tiga rakannya.
"Pihak polis kini giat mengesan tiga rakan sejenayahnya dan senjata yang digunakan.
Kes disiasat dibawah Seksyen 41(2) Enakmen Pemeliharaan Hiduoan Liar 1997",katanya.
#hidupan liar #Lahad Datu #pemburu #pemburu haram #Sabah
;