Ketidaktentuan politik jejas pelaburan, PM 9 perlu segera cari 'exit strategy' - Pakar

Madiha Abdullah
Ogos 19, 2021 11:55 MYT
Perdana Menteri mempunyai tugas berat untuk mencari strategi keluar dari situasi ekonomi pegun yang dilalui negara ketika ini. - Bernama
KUALA LUMPUR: Sesiapa sahaja yang dilantik sebagai Perdana Menteri kesembilan perlu segera memikirkan solusi dan polisi yang boleh membawa Malaysia keluar dari kemelut ekonomi.
Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof Madya Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, ketidakstabilan politik merupakan indikator dan memberi bayangan ketidaktentuan yang sekali gus memberi kesan kepada perniagaan dan keyakinan pelabur.
"Kita lihat ketidaktentuan pasaran, KLCI yang jatuh teruk awal minggu ini. Hari ini pun masih belum stabil. Ini kita kena ambil maklum.
"Proses yang berlangsung sekarang (pemilihan perdana menteri), lebih cepat pelantikan dibuat, lebih cepat untuk kita dapatkan semula keyakinan pelabur," katanya kepada Astro AWANI, hari ini.
Perdana Menteri juga, kata Ahmed Razman, mempunyai tugas berat untuk mencari strategi keluar dari situasi ekonomi pegun yang dilalui negara ketika ini, selain perlu mempersiapkan Kabinet untuk pembentangan Rancangan Malaysia Ke 12 (RMK12) dan Belanjawan 2022.
"Sepatutnya bulan ini akan ada pengumuman dan pembentangan pra-bajet, bulan depan pembentangan RMK12 dan seterusnya Belanjawan 2022 pada Oktober.
"Apa yang kita nak lihat di Parlimen ialah rancangan lima tahun akan datang. Apa bayangan Belanjawan 2022 dan bagaimana pelan atau strategi keluar daripada ekonomi pegun, terutama semasa pembentangan RMK12," ujarnya.
Tambah Ahmed Razman, penting juga untuk kerajaan baharu nanti memperkenalkan pelan rangsangan baharu, apatah lagi melihat kepada polisi sedia ada yang belum berjaya mencapai objektifnya.
"Kalau sektor ekonomi tutup sehingga Oktober, ada kemungkinan perniagaan mikro akan mati begitu sahaja. Jumlahnya pula bukan sedikit, kita bercakap tentang kira-kira 500,000 perniagaan.
"Kadar pengangguran juga masih sangat tinggi, iaitu 700,000. Semua ini perlu difikirkan.
"Polisi selepas ini perlu memastikan beberapa perkara seperti pengurangan pengangguran, pekerjaan yang dijamin dengan gaji yang stabil, mengurangkan keberhutangan isi rumah serta merancakkan semula aktiviti perniagaan domestik di samping memastikan eskport negara kekal kukuh.
"Kalau sekalipun polisi itu bersifat populis, tidak mengapalah jika ia boleh lakukan semua yang disebutkan," ujarnya.
Situasi Politik | PM & Kabinet Baharu: Bina ekonomi Malaysia lebih baik (Bahagian 2)
Tambah beliau, mewujudkan polisi yang lebih responsif mengikut data bukan satu perkara yang sukar namun ia memerlukan kefahaman di peringkat akar umbi.
"Kita ada data dan rumusan, jadi kita tahu masalahnya. Yang penting sekarang perlu berani pergi ke akar umbi, fahamkannya supaya ia boleh ditangani dengan secepat mungkin.
"Masalah yang kita hadapi hari ini bersifat sistemik, di mana ia tidak boleh diselesaikan hanya dengan satu dasar atau polisi sahaja. RMK12 adalah medium terbaik untuk membawa perubahan yang efektif dan holistik.
"Paling penting, kerajaan perlu menangani masalah pengangguran dan pastikan rakyat ada pekerjaan. Kalau masalah ini tidak ditangani, kesannya bukan sahaja pada ekonomi tetapi juga sosial," katanya lagi.
Justeru, penting untuk memastikan RMK12 dan Belanjawan 2022, dibina secara komprehensif tanpa ketirisan.
"Seperti biasa, Belanjawan akan berorientasikan rakyat dan bukan individu. Tetapi apa yang mustahak sekarang adalah bagaimana memastikan tiada ketirisan dalam setiap peruntukan, memantau data untuk memastikan setiap peruntukan dapat ditakrifkan kepada objektif asalnya.
"Kita tidak mahu lagi adanya pembaziran," tegasnya.
#ekonomi #politik #kabinet #Perdana Menteri #pelaburan #Parlimen #Ahmed Razman Abdul Latiff #perdana menteri kesembilan #pm ke-9 #ketidakstabilan politik #keyakinan pelabur #pasaran KLCI #exit strategy #ekonomi pegun #strategi keluar #pelan rangsangan
;