Ketidaktentuan cuaca: Pam, pintu air sentiasa dipantau, selenggara - Exco Selangor

Bernama
September 14, 2023 05:30 MYT
Izham berkata, pemantauan terhadap keadaan pam dan pintu air di seluruh Selangor sentiasa dilakukan dan dikemas kini agar berada dalam keadaan siap siaga. - Foto fail/Sinar Harian
KUALA SELANGOR: Pemantauan terhadap keadaan pam dan pintu air di seluruh Selangor sentiasa dilakukan dan dikemas kini agar berada dalam keadaan siap siaga berikutan keadaan cuaca kini yang tidak menentu, kata Exco Infrastruktur dan Pertanian negeri Izham Hashim.
Beliau berkata tindakan menerusi inisiatif Skim Jaminan Air Mentah (SEJAM) itu dilaksana berikutan risiko banjir yang boleh berlaku pada bila-bila masa dan pihaknya kini tidak hanya memberi fokus melakukan pemantauan pada musim tengkujuh tetapi turut dilaksanakan semasa luar musim tersebut.
"Pam dan pintu air sentiasa kita kemas kini (pantau). Juga segala kerja penyelenggaraan yang diperlukan untuk pintu air, longkang, parit, sungai dan semua kita buat (sebagai persediaan menghadapi ketidaktentuan berlakunya banjir).
"Kita ada lebih 20 pam mudah alih untuk diletakkan di mana-mana yang berlaku limpahan air berlebihan, ia sentiasa ada berdekatan dengan pintu-pintu air (dan tidak termasuk pam statik)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Inovasi Pertanian Selangor 2023 di Jabatan Pertanian Kuala Selangor pada Khamis.
Mengenai cadangan penanaman padi sebanyak lima musim untuk dua tahun berbanding dua musim setahun ketika ini, Izham berkata perkara tersebut akan diteliti bersama Jabatan Pertanian serta pihak Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Barat Laut Selangor untuk melihat kesesuaian khususnya melibatkan isu bekalan air dan benih yang sesuai.
Dalam pada itu, Izham menjelaskan penyusutan hasil padi yang dihadapi negeri itu kepada tiga hingga empat tan metrik sehektar berbanding lapan ke sepuluh tan metrik sehektar sebelum ini dikenal pasti akibat kesan perubahan iklim dan serangan penyakit yang turut dihadapi di peringkat global.
Katanya keadaan itu perlu ditangani menerusi inovasi dan penyelidikan serta difahamkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) bakal menjalankan bancian di Selangor pada Julai tahun depan, bagi mengenal pasti kekuatan dan kelemahan sistem pertanian negeri itu untuk membantu meningkatkan hasil pengeluaran pada masa akan datang.
-- BERNAMA
#ketidaktentuan cuaca #Selangor #izham hashim #sejam
;