Ketidakstabilan politik jejas pemulihan ekonomi - Penganalisis
Madiha Abdullah
Disember 6, 2020 13:35 MYT
Disember 6, 2020 13:35 MYT
KUALA LUMPUR: Biarpun situasi politik yang berlaku di Perak kini dianggap sesetengah pihak sebagai perkara biasa dalam amalan demokrasi, ia tetap punya impak negatif terhadap ekonomi negara.
Penganalisis Ekonomi, Datuk Dr Madeline Berma, situasi semasa di Perak itu boleh dilihat sebagai satu bentuk ketidakstabilan yang akan memberi kesan kepada perdagangan dan pelaburan.
"Di peringkat makro, apabila perdana menteri, ketua menteri atau kabinet berubah, seperti yang kita lihat pernah berlaku di negara jiran di mana tentera terpaksa ambil alih pemerintahan, situasi itu menjejaskan ekonomi.
"Dari segi perdagangan dan pelaburan terutamanya, ketidakstabilan politik akan menggugat keyakinan pelabur untuk melabur kerana mereka ini nak melabur bukan sedikit tetapi berbilion ringgit," katanya ketika muncul dalam program Buletin AWANI, hari ini.
Madeline juga melihat perkembangan di Perak boleh menjejaskan pemulihan ekonomi terutama di negeri itu sendiri, apatah lagi ketika peniaga dan usahawan mikro sedang berusaha memulihkan perniagaan dan kehidupan mereka yang menerima impak COVID-19.
"Saya bukan pengkaji politik tetapi dilihat dari segi ekonomi, mesti akan ada kesan apabila kerajaan terlalu fokus terhadap politik, tidak kiralah di peringkat persekutuan atau negeri.
"Sepatutnya kerajaan fokus terhadap cara penyelesaian masalah berkaitan COVID-19 melalui dasar fiskal dan dasar ekonomi. Terlalu fokus pada politik yang hanya akan membantutkan pemulihan ekonomi," ujarnya.