Ketidakpatuhan SOP bazar Ramadan: KKM beri kuasa kepada PBT kompaun kesalahan
Bernama
April 14, 2021 04:31 MYT
April 14, 2021 04:31 MYT
KUALA LUMPUR: Masuk hari kedua berpuasa semalam, ketidakpatuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) bazar Ramadan menimbulkan kekhuatiran pelbagai pihak, apabila dibimbangi akan mencetuskan kluster baharu COVID-19.
Netizen dalam media sosial mula berkongsi gambar dan video menunjukkan pengunjung bazar Ramadan bersesak-sesak, dan tidak mematuhi penjarakan fizikal ketika membeli juadah untuk berbuka di bazar Ramadan.
Keadaan ini menarik perhatian Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Dalam satu kenyataan, beliau mengumumkan berkuat kuasa semalam, Kementerian Kesihatan (KKM) telah menurunkan kuasa kepada Datuk Bandar, Yang Dipertua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan pegawai penguatkuasa PBT Gred 19 ke atas, untuk mengkompaun apa-apa kesalahan di bawah Akta 342 termasuk sebarang ketidakpatuhan SOP bazar Ramadan.
"Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah menerima beberapa aduan orang ramai mengenai ketidakpatuhan SOP di bazar Ramadan di beberapa lokasi di Malaysia.
"Perkara ini dipandang serius kerana penularan wabak COVID-19 masih berada di tahap membimbangkan. Sehubungan itu, PBT digesa untuk mengambil tindakan sewajarnya, dalam memastikan pelaksanaan SOP yang dikeluarkan oleh MKN dan KKM dipatuhi sepenuhnya," katanya sambil meminta orang ramai memberi kerjasama kepada PBT, dalam membantu negara melandaikan lengkuk penularan wabak COVID-19.
Sementara itu, tinjauan Bernama di beberapa bazar Ramadan seluruh negara semalam mendapati, SOP di bazar berkenaan pada tahap memuaskan namun ada di beberapa kawasan masih tidak dipatuhi sepenuhnya.
Tinjauan di tapak bazar Taman Melawati di sini mendapati orang ramai sudah mula mengunjungi bazar tersebut seawal 4 petang.
Peniaga murtabak, Muhd Zaim Mohd Zaki, 18, berkata dia melihat ada pematuhan SOP dalam kalangan orang ramai yang mengunjungi bazar itu, seperti beratur pada jarak satu meter dan memakai pelitup muka, namun bagi pengunjung Mansor Shaari, 36, masih ada lagi yang gagal memberi kerjasama, walaupun dengan kehadiran pegawai penguatkuasa.
Di TERENGGANU, di bazar Ramadan di Dataran Shahbandar, Batu Buruk, Kuala Terengganu dan sekitar jambatan angkat, walaupun terpaksa beratur panjang sebelum dibenarkan masuk, pengunjung dilihat tetap sabar untuk membuat saringan suhu badan dan mengimbas kod aplikasi MySejahtera.
Kehadiran beberapa anggota polis dan Rela di bazar Ramadan juga ternyata berkesan, dalam mengingatkan pengunjung agar sentiasa menjaga jarak fizikal ketika sedang membeli makanan dan minuman.
Di PULAU PINANG, tinjauan di bazar Ramadan Jalan Tenggiri Seberang Jaya, seorang pengunjung Nor Amin Hassan, 34, berkata tapak bazar itu mempunyai pintu masuk dan keluar yang berbeza, di mana setiap pintu masuk dilengkapi dengan Pengimbas Kod QR MySejahtera dan alat pengimbas suhu.
"Saya lihat pengunjung sudah biasa dengan norma baharu ini dan mereka akan mengimbas MySejahtera dan suhu badan masing-masing, sebelum masuk serta memakai pelitup muka," katanya.
Di JOHOR, tinjauan di bazar Ramadan popular di Johor Bahru mendapati, tahap pematuhan SOP orang ramai yang mengunjungi bazar Ramadan itu adalah pada tahap yang tidak memuaskan.
Hal ini kerana, terdapat daripada mereka yang mengabaikan SOP dengan tidak mengamalkan penjarakan fizikal, dengan berada dekat antara satu sama lain semasa membeli dan memilih juadah.
Didapati terdapat juga kanak-kanak serta warga emas datang ke bazar, walaupun golongan itu tidak digalakkan serta isu pergerakan orang ramai bagi memastikan mereka sentiasa mengamalkan penjarakan fizikal.
Begitu juga di PERLIS, tinjauan di bazar Ramadan Taman Sena Indah, Titi Chai dan Gual Sami mendapati, bahawa masih ramai yang tidak mematuhi SOP yang ditetapkan.
Ketua Polis Perlis Datuk Surina berkata walaupun Perlis berstatus zon hijau, ia tidak bermakna bahawa orang ramai tidak perlu mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh KKM, ketika berada di luar rumah dan tempat tumpuan awam.
"Saya telah mengarahkan semua ketua polis daerah mengambil tindakan perketatkan kawalan pematuhan SOP di bazar Ramadan, agar orang ramai dapat kembali mematuhi SOP agar negeri ini terus kekal berstatus hijau," katanya.
Di MELAKA, bagi mengelak situasi pengunjung berasak-asak di beberapa bazar Ramadan semalam berulang, sistem kupon akan diguna pakai bagi memasuki bazar Ramadan.
Penganjur bazar Ramadan di Taman Rambai Jaya dan Taman Rambai Utama Ismail Adnan berkata, ini termasuklah memasang tali perimeter dan mendapatkan bantuan Rela untuk memantau keadaan, dalam usaha memastikan pengunjung menjaga SOP.
"Untuk mengatasi masalah tersebut daripada berulang, pihak kami akan menggunakan sistem kemasukan bergilir bermula petang ini, dengan setiap pengunjung diberikan 'kupon' khas bagi tujuan memantau jumlah pengunjung ke bazar Ramadan," katanya.
#ismail sabri yaakob
#SOP
#KKM
#Ramadan
#Kementerian Kesihatan
#Majlis Keselamatan Negara
#COVID-19
#operasi
#keselamatan
#kesihatan
#Bazar Ramadan
#ketidakpatuhan
#turun kuasa
#kompaun
#pbt
#bersesak