Ketibaan pelancong dari China ke Malaysia meningkat 130.9 peratus pada 2024

Bernama
Februari 24, 2025 22:09 MYT
Peningkatan kedatangan pelancong itu didorong kesinambungan dasar bebas visa untuk warga China sehingga Disember 2026 dan peningkatan kesalinghubungan udara. - Bernama
KUALA LUMPUR: Ketibaan pelancong dari China ke Malaysia meningkat kepada 3,725,894 pada 2024, dengan peningkatan memberangsangkan sebanyak 130.9 peratus tahun ke tahun, menurut Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia.
Peningkatan ini, didorong oleh kesinambungan dasar bebas visa untuk warga China sehingga Disember 2026 dan peningkatan kesalinghubungan udara, dijangka mempercepat pertumbuhan, lapor agensi berita Xinhua memetik kenyataan kementerian itu lewat Ahad.
Membina pertumbuhan kukuh ini, China Eastern Airlines melancarkan penerbangan sulungnya yang menghubungkan Xi'an, ibu kota Wilayah Shaanxi di barat laut China, ke Kuala Lumpur, melalui bandar raya Kunming di barat daya China, pada Ahad.
"Xi'an berfungsi sebagai hab bandar yang penting di barat laut China, menyaksikan pertumbuhan penduduk yang pesat, terutamanya dalam kalangan keluarga kelas menengah dengan peningkatan pendapatan boleh guna. Demografi ini berkemungkinan mempunyai sumber untuk melancong ke luar negara yang menjadikan mereka antara sasaran utama untuk kempen pelancongan," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
#pelancong #warga china #dasar bebas visa #kesalinghubungan udara
;