Ketiadaan air sukarkan lebih 500 penduduk di bulan Ramadan
Muhafandi Muhamad
Mac 26, 2023 06:45 MYT
Mac 26, 2023 06:45 MYT
TANAH MERAH: Ketiadaan air yang bermula dua hari sebelum Ramahan di Kampung Lalang Pepuyu, Kelantan menyukarkan kehidupan hampir 500 orang penduduk di kampung berkenaan.
Bekalan air terputus menyebabkan mereka terpaksa bergantung kepada air yang dibekalkan oleh Air Kelantan Sendirian Berhad (AKSB) melalui lori tangki serta air sungai berhampiran.
Seorang pengusaha kedai makan, Mohd Asri Idris berkata, keadaan itu memaksanya untuk tidak berniaga.
"Tiada air jadi saya tidak berniaga. Sudah 6 hari tiada air bermula dua hari sebelum puasa.
"Tak pernah berlaku sebelum ini dan kami tidak tahu apa puncanya. Susah kami begini dengan anak nak bersekolah, dengan anak-anak kecil lagi," katanya.
Bagi suri rumah Rohani Abd Manaf pula, lokasi sungai yang agak jauh dari rumah menyukarkannya mendapatkan bekalan air.
"Anak saya ada 5 orang dan semua masih bersekolah. Sungai agak jauh jadi ia sangat menyukarkan kami," katanya.
Penduduk terpaksa mendapatkan air dari Sungai Golok untuk aktiviti harian, termasuk mandi dan membasuh.
Berikutan ketiadaan air itu, AKSB serta Jabatan Bomba dan Penyelamat mulai menghantar bekalan air bersih menggunakan lori tangki sejak tiga hari lalu.
Penduduk juga tidak dimaklumkan punca ketiadaan air itu oleh pihak berkaitan.
Justeru mereka menggesa masalah air yang dihadapi itu dapat diatasi segera kerana bulan puasa menyukarkan mereka untuk mengangkut air.