Ketepikan perbezaan, terus bersatu menentang COVID-19 - Halimah Sadique

Astro Awani
Februari 26, 2021 11:38 MYT
HALIMAH: Agenda Perpaduan Negara merangkumi strategi dan indikator, antara lain, untuk menerapkan dan mengekalkan perpaduan dalam kalangan rakyat, sejajar dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dan prinsip Rukun Negara. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique meminta seluruh rakyat Malaysia untuk terus bersatu dalam memerangi pandemik COVID-19.
Katanya, rata-rata rakyat Malaysia kekal teguh sebagai sebuah masyarakat dan ia perlu diteruskan sehingga peperangan menentang musuh halimunan tersebut selesai.
Menurut Halimah, kementeriannya bekerjasama dengan pelbagai pihak berkepentingan pada tahun lalu bagi mempertahankan perpaduan sosial dan keharmonian kebangsaan tatkala berdepan wabak COVID-19.
“Ia termasuk, misalnya, perangkaan langkah yang membenarkan rakyat Malaysia menyambut perayaan masing-masing sambil mematuhi SOP (prosedur operasi standard) bagi mencegah penyebaran virus tersebut.
"Dan memberi ruang kepada pembangunan sosio-ekonomi untuk semua komuniti yang terjejas,” katanya dalam ucapan pada majlis pelancaran program ijazah Sains Sosial baharu Taylor’s University hari ini.
Pada masa sama, katanya, kementeriannya juga mengusahakan Dasar Perpaduan Negara dan Rangka Tindakan (Blueprint) Perpaduan Negara 2021-2030 yang baru-baru ini dilancarkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Agenda Perpaduan Negara ini merangkumi strategi dan indikator, antara lain, untuk menerapkan dan mengekalkan perpaduan dalam kalangan rakyat.
"Ia sejajar dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dan prinsip Rukun Negara,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau mengucapkan tahniah kepada Taylor’s University atas kejayaan pelancaran program ijazah Sains Sosial tersebut.
Program itu adalah yang pertama ditawarkan di Malaysia dan Asia Tenggara.
#perpaduan #COVID-19 #Halimah Mohamed Sadique #Dasar Perpaduan Negara #Rangka Tindakan Blueprint Perpaduan Negara 2021-2030 #Wawasan Kemakmuran Bersama 2030
;