Ketepikan perbezaan politik, sokong Belanjawan 2021 - Azizah
Hasimi Muhamad
November 16, 2020 18:00 MYT
November 16, 2020 18:00 MYT
KUALA LUMPUR: Semua Ahli Parlimen sekali lagi diseru supaya mengenepikan perbezaan politik, sekali gus memberi sokongan penuh untuk meluluskan Belanjawan 2021.
Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Azizah Mohd Dun berkata Belanjawan 2021 adalah penting bagi memastikan kerajaan dapat meneruskan usaha membantu rakyat yang terkesan, ketika ini.
"Jadi adalah amat penting untuk kita semua (sebagai) wakil rakyat, tidak mengira dari segi politik (menyokong Belanjawan 2021).
"Tetapi, apa lebih penting (adalah) kita memikirkan kepada kebajikan, kesejahteraan kehidupan rakyat dan ekonomi negara yang terkesan akibat COVID-19.
"Ketepikanlah perasaan kita berkaitan dengan politik dan masalah kita, tetapi yang penting ketika ini adalah memberi keutamaan kepada kesejahteraan rakyat," katanya kepada Astro AWANI ketika ditemui di lobi Parlimen, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Azizah berkata Belanjawan 2021 yang dibentangkan baru-baru ini disifatkan sebagai menyeluruh, dan mengutamakan kebajikan semua pihak.
Katanya, Belanjawan 2021 turut mendapat pandangan daripada semua wakil parti politik, sebelum ia dibentangkan.
"Saya juga melihat dalam pembentangan tersebut kebajikan rakyat begitu diutamakan sekali. Penambahan dari segi bantuan kebajikan yang diperuntukan adalah tinggi, dan semua golongan yang memerlukan diberikan perhatian.
"Selain itu, majikan, pekerja, orang bujang, keluarga dan ibu tunggal (juga) diberikan perhatian. Malah, usahawan-usahawan Bumiputera diberikan perhatian yang begitu besar," tambahnya.
Justeru beliau menzahirkan rasa pelik apabila ada segelintir pihak yang masih mahu Belanjawan 2021 dipinda.
"Jadi, saya tidak tahu apa lagi yang mereka (mahukan) pindaan bagaimana, tetapi terpulang kepada kebijaksanaan Kementerian Kewangan untuk melihat perkara itu," katanya.
Terdahulu, kesemua Ahli Parlimen Parti Amanah Negara (Amanah) sepakat untuk tidak menyokong Belanjawan 2021 yang dibentangkan kerajaan pada 6 November lepas.
#Parti Amanah Negara
#Parlimen
#Kementerian Kewangan
#Bumiputera
#azizah mohd dun
#ahli parlimen beaufort
#Belanjawan 2021
#Sokong Belanjawan 2021