Ketepikan perbezaan politik, jangan gadaikan keamanan - PM Najib

Bernama
Julai 31, 2016 23:25 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak (kiri), pada Majlis Istiadat Sambutan Hari Pahlawan di Dataran Pahlawan Negara hari ini. - Foto BERNAMA
Bersempena Hari Pahlawan negara, Datuk Seri Najib Tun Razak mengajak rakyat Malaysia mengetepikan perbezaan ideologi politik agar tidak menggadaikan keamanan negara.
Perdana Menteri juga meminta semua rakyat untuk bersama-sama mensyukuri nikmat yang diperolehi melalui perjuangan perajurit tanah air.
"Marilah bersama-sama kita sedekahkan Al-Fatihah dan bertafakur buat perwira kita yang telah terkorban dalam perjuangan mereka demi kemakmuran tanah air ini.
Terima kasih perwiraku. Selamat Hari Pahlawan!," katanya dalam catatan terbaru di blog beliau www.najibrazak.com.
Datuk Seri Najib juga berkongsi beberapa peristiwa dan sejarah pengorbanan anggota keselamatan negara termasuk krisis pencerobohan Lahad Datu pada tahun 2013.
"Saya masih ingat lagi ketika mendapat perkhabaran mengenai krisis pencerobohan Lahad Datu pada tahun 2013. Ramai anggota keselamatan kita yang terkorban dan cedera dalam usaha mereka untuk mempertahankan kedaulatan tanah air daripada pencerobohan pengganas," kata beliau.
#Hari Pahlawan #ideologi politik #keamanan negara #Najib Tun Razak #rakyat Malaysia
;