Ketepikan perbezaan politik demi penyatuan ummah - TPM Zahid
Abd Razak Mohd Ali
Februari 18, 2018 20:14 MYT
Februari 18, 2018 20:14 MYT
Masyarakat Melayu harus mengetepikan perbezaan politik sebaliknya meletakkan agama sebagai asas penyatuan ummah.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, perpecahan dalam kalangan masyarakat Melayu akan berterusan jika semua pihak perbezaan politik dilayan tanpa noktah.
"Ketepikanlah perbezaan atas perkara-perkara yang furuk atau perbezaan pendapat biarpun kita mempunyai warna dan siasah yang berbeza.
"Kita 'berperang' lima tahun sekali, biarlah 'perang datang dan pergi' namun titik noktah kepada perpecahan sesama kita harus dicari," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Semarak Mahabbah di Sekolah Menengah Agama Maahad Al-Islah, Sungai Lampam, Sungai Manik di sini pada Ahad.
Turut hadir Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin, ADUN Kampung Gajah, Datuk Abdullah Fauzi Ahmad Razali dan Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Khairul Azwan Harun.
Di majlis itu, Timbalan Perdana Menteri turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM680,000 bagi menaik taraf, pembinaan gelanggang futsal berbumbung dan pembinaan dewan tertutup untuk Sekolah Menengah Agama Maahad Al-Islah.
Menurutnya, sumbangan itu sebagai tanda keprihatinan beliau kerana menyedari akan kekurangan yang dialami di sekolah-sekolah agama.