Ketepikan perbezaan, kukuh titik persamaan demi negara - KSN
Bernama
Disember 31, 2022 16:50 MYT
Disember 31, 2022 16:50 MYT
PUTRAJAYA: Memasuki 2023, semua pihak perlu mengetepikan perbezaan dan mengukuhkan titik persamaan sebagai satu pasukan yang membawa aspirasi kemakmuran negara, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.
Beliau berkata sinergi kerjasama erat di antara semua pihak baik dari kerajaan, swasta dan juga rakyat adalah ramuan utama bagi memastikan kita bergerak dalam satu irama yang sama.
"Hadirnya tahun 2023 adalah dengan pelbagai harapan dan impian untuk negara kita terus maju sejahtera," katanya dalam hantaran di laman Facebook hari ini sempena tahun baharu 2023.
Mohd Zuki turut menyeru anggota perkhidmatan awam bersiap siaga, berdedikasi dan memberikan komitmen penuh dalam memastikan islah atau pembaharuan digarap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat dilaksanakan.
"Ini demi kestabilan dan kesejahteraan negara yang kita cintai. Sematkan dalam diri agar khidmat yang diberi pada hari-hari mendatang adalah lebih baik dari hari yang sebelumnya.
"Insya-Allah, kita akan terus melangkah gagah dalam mendepani apa jua cabaran yang perlu ditempuhi. Kita adalah benteng negara!" katanya.
Beliau berkata perjalanan tahun 2022 sudah sampai ke penghujungnya dengan pelbagai cantingan episod suka duka, pengalaman dan pengajaran yang perlu dimanfaatkan untuk terus memperbaiki mutu penyampaian perkhidmatan kepada semua pemegang taruh.
"Saya mengucapkan terima kasih kepada seluruh anggota perkhidmatan awam tidak kira siapa jua anda, yang telah memberikan sepenuh komitmen dalam menterjemah dasar di lapangan agar agenda pemulihan ekonomi terus diperkasa dan kebajikan serta kesejahteraan rakyat terus diutama," katanya.
-- BERNAMA