Ketepikan perbezaan demi TN50 - TPM Zahid
Bernama
Februari 24, 2017 22:39 MYT
Februari 24, 2017 22:39 MYT
Rakyat diminta mengetepikan sebarang unsur negatif yang terhasil daripada perbezaan pendapat berikutan kepelbagaian agama dan kaum bagi memastikan usaha memartabatkan Malaysia sebagai 20 negara terbaik di dunia tercapai menerusi dasar baharu Transformasi Nasional 2050 (TN50).
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata sebaliknya rakyat Malaysia perlu memiliki hanya "satu pemikiran" dalam usaha membentuk Malaysia sebagai negara yang menjadi contoh serta diiktiraf di peringkat dunia.
"Kita ketepikan perbezaan... kita mahu membentuk negara sebagai negara 'mithali', negara contoh. Dalam kepelbagaian, ada satu pemikiran dan diiktiraf dunia, ini hasrat kita Insya-Allah," katanya dalam program "Dialog Perdana TN50 Perspektif Islam" yang rakamannya disiarkan di Bernama News Channel (BNC) malam ini.
Dialog secara santai bersama lebih 1,000 belia yang kebanyakannya pemimpin persatuan mahasiswa Islam institusi pengajian tinggi awam dan swasta itu diadakan di Dewan Tuanku Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan pada Isnin lalu.
Pada dialog itu yang dipengerusikan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, beberapa isu utama dibincangkan, iaitu pendidikan, ekonomi, institusi agama, politik, perpaduan kaum dan ekstremis agama.
Program dialog itu adalah kesinambungan daripada dialog pertama yang dikendalikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bersama 500 belia negara ketika melancarkan TN50 pada 19 Jan lalu di Universiti Malaya, Kuala Lumpur.
Mengenai komitmen kerajaan dalam memperkukuhkan agama Islam di negara ini menjelang 2050, timbalan perdana menteri berkata pelbagai usaha telah dilakukan kerajaan seperti pelaksanaan konsep wasatiyyah dan perbankan Islam.
Beliau berkata kerajaan berterusan memastikan pendidikan Islam ini terpelihara melalui pembiayaan kepada 42,681 Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) serta 72 Sekolah Menengah Agama dan 332 Sekolah Agama Negeri.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata kementeriannya juga berjaya memulihkan 87.5 peratus individu yang terlibat secara langsung dengan kumpulan ekstremis menerusi program deradikalisasi yang turut dikongsi bersama negara lain.
Beliau berkata demi merealisasikan TN50, umat Islam di negara ini seharusnya menjadi peserta dan bukan hanya penonton dalam semua aspek berkenaan.
"Kita sebagai ummah tidak boleh ketinggalan, apabila Malaysia termasuk dalam 'top 20 nation' kita bukan berada dalam kedudukan penonton tapi sebagai peserta," katanya. -- BERNAMA