Ketepi pertikaian politik, sepakat hadapi pandemik COVID-19 - Agong
Firdaus Azil
Ogos 31, 2021 11:29 MYT
Ogos 31, 2021 11:29 MYT
KUALA LUMPUR: Usaha mengekang pandemik COVID-19 di negara ini memerlukan kesepaduan dan kesatuan seluruh rakyat, pemimpin serta kerajaan, titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Dalam kenyataan media Istana Negara hari ini, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Ahmad Fadil berkata, Al-Sultan Abdullah bertitah semua pihak perlu sepakat dengan menolak perbezaan pendapat dan mengetepikan pertikaian politik.
Katanya lagi, Agong berpandangan, perlu wujudnya simbiosis erat antara semuanya dalam berjuang untuk membawa negara merdeka dari pandemik yang melanda.
“Bersesuaian dengan tema sambutan Hari Kebangsaan iaitu 'Malaysia Prihatin', Seri Paduka Baginda menyeru Kerajaan untuk terus merangka dan menyusun pelan tindakan untuk membantu rakyat yang terkesan dan mengembalikan semula iklim ekonomi yang sihat.
“Rakyat wajar untuk terus dilindungi agar dapat berdiri tangkas menghadapi impak negatif kemelut ini.
"Seri Paduka Baginda turut menyeru Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan juga hendaklah terus diperkasa,” katanya lagi.
Ahmad Fadil berkata, ia bagi membolehkan negara mencapai imuniti kelompok yang diharapkan, dan rakyat juga sewajarnya turut berpegang teguh kepada prinsip “Malaysia Prihatin” dengan segera mendapatkan vaksin bagi melindungi diri, keluarga dan komuniti.
Bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan pada hari ini, Ahmad Fadil berkata lanjut, Seri Paduka Baginda merakamkan ucapan terima kasih kepada semua petugas barisan hadapan negara, petugas kesihatan, pasukan keselamatan, penjawat awam, para sukarelawan dan orang perseorangan yang telah menabur khidmat bakti kepada masyarakat dan negara.
Beliau berkata, Seri Paduka Baginda turut mengajak rakyat untuk mengingati dan menghargai para pejuang dan patriot kemerdekaan negara, serta anggota pasukan keselamatan yang telah berkorban sehingga berjaya menyelamatkan negara daripada belenggu penjajah dan seteru negara.
“Seri Paduka Baginda dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah mendoakan agar negara tercinta ini terus berada dalam rahmat dan perlindungan Allah Subhanahu Wata’ala daripada segala musibah dan pandemik COVID-19.
“Semoga Allah Subhanahu Wata’ala akan terus memelihara dan melimpahi Malaysia yang tercinta ini dengan keberkatan rezeki, kemakmuran, kesejahteraan serta keamanan dan perpaduan yang berkekalan,” katanya lagi.