Ketepi perbezaan, lebih 10,000 rakyat Malaysia rai perpaduan, meriahkan 'Keretapi Sarong 2023'

Astro Awani
September 16, 2023 19:11 MYT
Ribuan rakyat Malaysia menaiki LRT dari KL Sentral ke Dataran Merdeka untuk menyertai program KS2023 hari ini. - Gambar/ Bernama
KUALA LUMPUR: Lebih 10,000 rakyat Malaysia berbilang kaum tampil menyertai program persembahan kilat berkumpulan, 'Keretapi Sarong 2023' (KS2023) sempena sambutan Hari Malaysia di Dataran Merdeka, hari ini.
Malah program bertemakan'Etnik dan Perpaduan' itu turut menarik perhatian ramai pelancong asing yang berada di ibu negara dengan turut sama menyertainya.
Suasana sambutan itu juga meriah dengan sebahagian besar peserta mengenakan pakaian tradisional termasuk kain sarung dan bersama-sama menari serta menyanyi lagu-lagu rakyat serta lagu berentak irama Malaysia.
Kemeriahan suasana program ini yang menyaksikan rakyat Malaysia mengenepikan segala perbezaan dan bersama-sama meraikan perpaduan, dapat dilihat di banyak stesen tren termasuk Putrajaya Sentral (KLIA Transit), Subang Jaya (LRT), Bandar Utama (MRT), Ampang (LRT), Gombak (LRT), Kajang (MRT) dan KL Sentral (LRT).
Menurut penganjur, LOCCO iaitu organisasi yang membantu mempromosikan aktiviti kebudayaan menerusi penganjuran Keretapi Sarong sejak 2017, program ini tidak hanya terhad di Kuala Lumpur.
Sebaliknya, ia berlangsung serentak di Johor Baharu (sepanjang Sungai Segget), Kota Bharu (LaRocka Park, Tunjong Kota Bharu, Kelantan), Ipoh (KTMB Ipoh), dan Kuala Terengganu (Kampung Budaya Terengganu).
Malah, menurut LOCCO sambutan turut diadakan di Battersea Power Station di London.

Lautan manusia berpakaian etnik membanjiri sepanjang laluan pejalan kaki Sungai Segget di bandar raya Johor Bahru pagi ini. Acara kilat berkumpulan Keretapi Sarong 2023 di Johor bersempena sambutan Hari Malaysia itu, disertai kira-kira 600 orang terdiri daripada pelbagai pic.twitter.com/aEWeBwTJAo

— BERNAMA (@bernamadotcom) September 16, 2023
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Program Keretapi Sarong dimulakan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Random Alphabet pada 2012 sebelum diambil alih LOCCO pada 2017, membabitkan ribuan peserta menaiki pengangkutan awam dengan memakai kain sarung sama ada batik atau pelekat sebagai seragam utama.
Penganjuran program pada tahun ini mendapat kerjasama pelbagai pihak antaranya Kementerian Pelancongan, Seni dan Kebudayaan (MOTAC), Jabatan Kebudayaan dan Keseniaan Negara (JKKN) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Rapid KL, Air Asia, Bulan Bintang dan Mr D.I.Y.
#keretapi sarong #Hari Malaysia #kemeriahan sambutan #Dataran Merdeka
;