Ketepi perbezaan, hapus kebencian, isytihar perang terhadap COVID-19 - Hishammuddin
Afiezy Azaman
Mac 22, 2020 10:40 MYT
Mac 22, 2020 10:40 MYT
Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk mengenepikan segala perbezaan dan hapuskan kebencian dalam usaha melawan perang terhadap COVID-19.
Beliau berkata, waktu ini merupakan masa untuk bersatu, mengutamakan kesihatan diri serta kepentingan negara.
“Malaysia telah melalui pelbagai ujian sebelum ini dan kita rakyat Malaysia telah buktikan yang kita boleh mengharunginya bersama-sama dengan syarat semua kekal tenang dan lakukan perkara yang betul.
“Kita perlu ingat, COVID-19 boleh menjangkiti sesiapa sahaja dan tidak pandai memilih bulu. Tidak memilih warna kulit, miskin atau kaya mahupun tua atau muda. Kita semua berisiko dijangkiti.
“Sekiranya COVID-19 tidak memilih-milih mangsa, kenapa perlu kita memilih-milih untuk membantu atau tidak? Malah, dalam keadaan sekarang, bukan sahaja kita tidak boleh berkira-kira untuk membantu, tetapi juga kita perlu bersikap terbuka untuk menerima bantuan daripada sesiapa sahaja yang diyakini ikhlas untuk membantu kita,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Sembrong itu berkata, masyarakat perlu mengelakkan menjadi penyebar berita palsu dan perkara itu harus saling diingatkan antara satu sama lain.
Menurut beliau, penularan wabak COVID-19 memerlukan rakyat mengamalkan gaya hidup baharu sekurang-kurangnya untuk tempoh beberapa minggu ini.
“Bersilaturrahim memang budaya kita, Saya percaya, tidak salah untuk kita berkorban sedikit, demi manfaat yang jauh lebih besar untuk negara.
“Sekiranya penularan wabak ini dapat dikawal, risiko kita untuk dijangkiti akan jadi lebih rendah dan jumlah pesakit COVID-19 juga akan berkurang sekaligus meredakan tekanan kepada petugas barisan hadapan.
“Untuk membantu mereka, caranya amat mudah dengan meluangkan masa di rumah. Saya faham, kita rakyat Malaysia suka keluar untuk berjumpa kenalan masing-masing,” jelas beliau.
Hishammuddin turut memberi penghormatan kepada petugas kesihatan dan penguatkuasa yang berada di barisan hadapan mengekang penularan COVID-19.
“Kepada para doktor, jururawat, kakitangan hospital, petugas di lapangan terbang serta pintu masuk negara, anggota polis dan tentera, saya tabik anda!
“Demi masa depan yang cerah buat anak, cucu dan cicit kita, kita mesti perangi wabak ini habis-habisan. Saya yakin, Malaysia boleh! Kepada seluruh rakyat Malaysia - stay safe, stay home dan paling penting stay strong!" ujar beliau lagi.
#Ahli Parlimen Sembrong
#Bersatu
#Bersilaturrahim
#COVID-19
#Hishammuddin Hussein
#kebencian
#membantu
#Menteri Luar
#Penguatkuasa
#perbezaan
#petugas kesihatan
#rakyat