Ketenteraman negara: PM Anwar arah pasukan keselamatan waspada
Hasimi Muhamad
Mac 17, 2023 14:15 MYT
Mac 17, 2023 14:15 MYT
PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan seluruh pasukan keselamatan agar berwaspada terhadap sebarang usaha oleh segelintir pihak yang mahu menganggu gugat keselamatan dan ketenteraman dalam negara.
Perdana Menteri menegaskan sebarang cubaan mengadu domba, menghangatkan ‘suhu’ kaum serta agama di negara ini tidak akan dibenarkan.
Kerajaan Perpaduan, jelas Anwar teguh dalam mempertahankan nilai serta akhlak dengan semangat menyatukan rakyat berbilang kaum dan agama.
“Saya telah arahkan semua pasukan keselamatan untuk waspada sebab orang yang rasa terdesak atau tercabar, akan guna sentimen (perkauman dan agama)... dan rakyat yang miskin akan diupah untuk menimbulkan apa-apa kekacauan.
“Saya tegaskan dan Kabinet bersama dalam hal ini untuk pastikan bahawa keamanan dan perdamaian, semua kaum dipertahankan dan kita tidak akan bertolak ansur sedikit pun terhadap mana-mana usaha yang akan menganggu gugat keselamatan negara,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Kabinet di Bangunan Perdana Putra, di sini, pada Jumaat.
Hadir sama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof.
Selain itu, jelas Anwar, kerajaan dengan dasar jelas ke arah Malaysia Madani, akan bersifat inklusif dengan memperkukuhkan Islam sebagai agama Persekutuan.
Perdana Menteri menambah, Kerajaan Perpaduan teguh mempertahankan prinsip Perlembagaan Negara, iaitu Islam adalah agama Persekutuan.
Pada masa yang sama, Anwar berkata kerajaan memberi ruang dan kebebasan seperti yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan terhadap kebebasan semua pihak untuk beragama.
“Jadi, kenyataan-kenyataan yang tidak bertanggungjawab tidak boleh diguna pakai kerana kita tidak boleh lari dari kenyataan bahawa Malaysia ini harus aman, tertib, dibangunkan oleh Melayu dan Bumiputera, Cina, India, suku-suku kaum Dayak, Iban, Melanau, Kadazan dan lain-lain.
“Oleh yang demikian, saya ingin tegaskan semula, kita tidak akan bertolak ansur dalam hal ini. Sebarang usaha oleh sesiapa pun yang cuba mengadu domba, hangat suhu kaum dan agama di negara tidak akan diizinkan,” ujarnya lagi.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, jika wujud beberapa isu berbangkit, ia harus dileraikan dengan baik agar tidak mewujudkan perseteruan, salah sangka atau prasangka.
Mengambil contoh program melibatkan kunjungan ke rumah ibadat baru-baru ini, Anwar berkata jika terdapat pelanggaran atau menimbulkan sensitiviti kaum, perkara itu perlu diselesaikan menerusi rundingan.
Sebelum ini media melaporkan mengenai Projek Artikel 11 Jom Ziarah yang diusahakan oleh Impact Malaysia, pertubuhan di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS), yang mengundang reaksi negatif dalam kalangan masyarakat.
Ia selepas program terbabit didakwa seolah-olah mengajak golongan Muslim untuk menziarahi gereja.
Bagaimanapun, Menteri KBS, Hannah Yeoh menegaskan program tersebut tidak melibatkan belia beragama Islam.
Projek Impact Malaysia itu turut melibatkan rumah ibadat agama lain termasuk ziarah masjid.