Ketegasan tangani Islamofobia, cermin komitmen kerajaan pertahan kesucian Islam - Pakar
Bernama
September 23, 2023 04:40 MYT
September 23, 2023 04:40 MYT
KUALA LUMPUR: Ketegasan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyuarakan isu membabitkan Islamofobia di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) Ke-78 mencerminkan komitmen kerajaan dalam mempertahankan kesucian agama Islam.
Rata-rata pakar dan tokoh agama berkongsi pandangan sama apabila Perdana Menteri menyatakan ketegasan dalam Kenyataan Negara di UNGA Ke-78 di New York pada Jumaat berhubung isu Islamofobia yang melanda dunia kini yang disifatkan satu pendirian terpuji.
Bagi Mufti Pulau Pinang Datuk Dr Wan Salim Wan Mohd Noor, selain pendirian terpuji Malaysia dan Turkiye dalam menangani isu itu, kesemua negara Islam yang lain juga perlu tegas secara kolektif agar usaha ini dapat memberi impak positif dengan penglibatan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
Beliau berkata semua pemimipin dunia Islam harus membantah tindakan sesetengah negara yang membakar al-Quran kerana ia dilihat mampu memberi ingatan keras kepada negara berkenaan supaya tidak mengulangi tindakan itu.
"Al-Quran tidak mengajar pembacanya membenci dan memusuhi, sebaliknya menggalakkan sikap bertoleransi dan saling menghormati antara seluruh manusia tanpa mengambil kira perbezaan agama, keturunan dan budaya," katanya ketika dihubungi Bernama semalam.
Sementara itu Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM) Dr Mohammad Nidzam Abd Kadir berkata inisiatif kerajaan mencetak satu juta naskah al-Quran untuk diedarkan di seluruh dunia adalah antara langkah terbaik dalam mengekang isu terbabit.
Bagaimanapun, beliau berpandangan penganjuran sesi dialog dan debat agama juga perlu diangkat dengan matlamat utama untuk mengenali titik persefahaman dalam aspek perbezaan dan persamaan setiap agama.
"Kita perlu nyatakan bahawa umat Islam akan bangun membela jika hak setiap agama dinafikan dan kitab suci setiap agama dihina. Ini kerana Islam sendiri tidak membenarkan penghinaan dilakukan terhadap mana-mana agama," katanya.
Dalam pada itu, Naib Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah berpandangan kerajaan perlu konsisten dalam usaha menyedarkan dunia tentang isu-isu membabitkan Islamofobia.
"Malaysia sepatutnya mencontohi Turkiye. Dalam kalangan negara Islam, memang Turkiye agak terkedepan mempertahankan Islam. Jadi, sudah tentu Malaysia memerlukan rakan sebegini untuk bersolidariti dalam mempertahankan dan memperjuangkan Islam," katanya.
Pada Jumaat, Anwar dalam Kenyataan Negara yang disampaikan pada sesi Debat Umum UNGA-78 di Ibu Pejabat PBB di New York, Amerika Syarikat berkata Malaysia bimbang dengan kemunculan "bentuk perkauman baharu" yang dicirikan oleh xenofobia, pemprofilan negatif dan stereotaip umat Islam.
Dalam ucapan sama, Anwar turut menyentuh beberapa isu seperti insiden membakar Al-Quran, tindakan kekejaman rejim zionis terhadap Palestin, selain turut menggesa agar isu Rusia-Ukraine dapat diselesaikan oleh PBB.
-- BERNAMA