Ketegangan hubungan Malaysia-Korea Utara tidak cetuskan peperangan - Hishammuddin
Raffi Bachik
Mac 11, 2017 16:11 MYT
Mac 11, 2017 16:11 MYT
Ketegangan hubungan antara Malaysia dan Korea Utara ketika ini tidak akan mencetuskan peperangan, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
Beliau berkata, setakat ini kedua-dua negara tidak menunjukkan sebarang isyarat kecemasan.
Jika dilihat, apa yang sedang dialami Korea Utara dengan dua negara iaitu Amerika Syarikat dan Korea Selatan adalah lebih tegang.
"Sebagai Menteri Pertahanan sepatutnya saya yang akan tahu terlebih dahulu, namun setakat ini, belum mendapat laporan yang mencemaskan antara kita dan Korea Utara.
"Saya tidak nafikan setakat hari ini memang (hubungan) tegang tetapi tidaklah sampai ke tahap hendak berperang," katanya selepas merasmikan Persidangan Kelompok Umno Bahagian Muar dan Penyerahan Kit Pilihan Raya Umum (PRU)-14 di sini, hari ini.
Dalam pada itu beliau berkata, perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memberikan dua tumpuan utama iaitu keselamatan warga Malaysia di Korea Utara dan siasatan terperinci behubung pembunuhan Jong Nam.
Hubungan Malaysia dan Korea Selatan yang dilaporkan mesra sebelum ini, menjadi tegang berikutan kematian Kim Jong-nam, abang kepada pemimpin negara itu, Kim Jong-un di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (klia2) pada 13 Feb lalu.
Kematian Jong-nam itu kemudian disahkan kerana diracun dua wanita menggunakan agen saraf VX yang ditekup pada muka mangsa.
#Hishammuddin Hussein
#kim jong nam
#KLIA2
#Korea Selatan
#Korea Utara
#Muar
#Najib Razak
#Perdana Menteri
#PRU
#UMNO