Ketatkan SOP, Sabah dan Sarawak adakan mesyuarat dalam waktu terdekat
Fadilah Sulaiman, Eleanor Michelle Patrick
Mei 22, 2021 19:26 MYT
Mei 22, 2021 19:26 MYT
KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak akan mengadakan mesyuarat malam ini bagi membincangkan keperluan mengetatkan prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 di negeri itu yang kini berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Ketetapan itu dibuat susulan pengumuman ketetapan baharu yang diumumkan oleh Kerajaan Pusat berkenaan dengan PKP 3.0.
Pengerusinya, Datuk Amar Douglas Uggah Embas memberitahu, pihaknya akan mengumumkan keputusan sekiranya Sarawak akan mengikuti perubahan itu dalam masa terdekat.
“JPBN Sarawak akan bermesyuarat malam ini. Keputusan akan diumumkan bergantung kepada keputusan malam ini,” katanya ketika dihubungi AWANI Borneo.
Sementara itu, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun ketika dihubungi AWANI Borneo menjelaskan, Jawatankuasa Pengurusan COVID-19 negeri akan mengadakan perbincangan esok sama ada terdapat keperluan untuk mengubah suai SOP sedia ada dalam usaha mengekang penularan COVID-19.
"Sebelum ini SOP di Sabah lebih ketat dari Semenanjung dan Labuan. Bagaimanapun jawatankuasa pengurusan akan mengadakan perbincangan esok untuk melihat keperluan kepada pengubahsuaian SOP di Sabah," katanya yang juga jurucakap jawatankuasa itu.
COVID-19 | Syarat ketat PKP 3.0 sektor ekonomi dan sosial
Terdahulu, Kerajaan Pusat telah mengumumkan beberapa penambahan kepada SOP PKP 3.0 termasuk memendekkan operasi perniagaan termasuk di pusat membeli-belah dan kedai bermula jam 8 pagi hingga 8 malam.
Antara lain, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi sidang media Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada Sabtu turut mengumumkan ketetapan untuk mengurangkan kapasiti pekerja di pejabat kepada hanya 40 peratus sahaja.
Ujarnya, peraturan itu akan berkuatkuasa di seluruh Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan bermula pada 25 Mei ini.
Laksana dua strategi bendung penularan pandemik di pejabat - Ismail Sabri
#ketetapan baharu
#Datuk Amar Douglas Uggah Embas
#Pengerusi JPBN Sarawak
#MKN
#Majlis Keselamatan Negara
#PKP 3 0