KESUMA teliti kerangka perlindungan sosial baharu buat pekerja

Ridauddin Daud
Oktober 24, 2024 13:55 MYT
Abdul Rahman berkata, kerangka itu berupaya merapatkan jurang yang ada, sekali gus memastikan tiada pekerja tercicir daripada mendapat perlindungan.
KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) sedang meneliti kerangka perlindungan sosial baharu untuk memberi perlindungan keselamatan sosial di luar waktu bekerja kepada seramai 7.6 juta orang pekerja.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, kerangka itu berupaya merapatkan jurang yang ada, sekali gus memastikan tiada pekerja tercicir daripada mendapat perlindungan.
“Perkeso menyediakan Skim Bencana Pekerjaan dan Skim Keilatan yang merupakan suatu bentuk insurans perlindungan sosial kepada Orang Berinsurans yang layak.
“Ia tertakluk di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 [Akta 4), Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 [AKTA 789] dan Akta Keselamatan Sosial Suri Rumah 2022 [AKTA 838].
“Faedah-faedah yang disediakan di bawah Skim Bencana Kerja adalah Faedah Perubatan, Faedah Hilang Upaya Sementara, Faedah Hilang Upaya Kekal, Faedah Orang Tanggungan, Elaun Layanan Sentiasa, Faedah Pengurusan Mayat dan Kemudahan Pemulihan Jasmani / Vokasional,” katanya.
Tambahnya, di bawah Skim Keilatan pula, faedah disediakan adalah Pencen Ilat, Bantuan Ilat, Elaun Layanan Sentiasa, Pencen Penakat dan beberapa faedah lain.
Katanya lagi, skim tersebut turut menyediakan faedah perubatan, di mana Orang Berinsurans yang layak boleh mendapatkan perkhidmatan rawatan perubatan secara percuma atau secara tuntutan Bayaran Ganti Belanja.
Beliau berkata demikian di Dewan Rakyat pada Khamis, menjawab soalan V Sivakumar (PH - Batu Gajah) berkaitan skim insurans sosial komprehensif bagi melindungi pekerja berpendapatan rendah.
#Dewan Rakyat #KESUMA #perkeso #perlindungan sosial
;