KESUMA tawar lebih 3,000 pekerjaan industri hijau dengan gaji RM3,000 hingga RM16,000

Bernama
April 25, 2024 19:55 MYT
Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong merasmikan Karnival Kemahiran dan Kerjaya Hijau anjuran Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menawarkan lebih 3,000 peluang pekerjaan dalam industri hijau menerusi Karnival Kemahiran dan Kerjaya Hijau KESUMA 2024.
Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong berkata karnival anjuran Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) itu, yang berlangsung dari hari ini hingga Sabtu, menawarkan pekerjaan dengan tangga gaji bermula RM3,000 hingga RM16,000.
"Ini merupakan antara fokus KESUMA untuk mempersiapkan tenaga kerja di negara ini dalam mendepani cabaran ekonomi abad ke-21 seperti kecerdasan buatan (AI), digitalisasi dan ekonomi hijau," katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran karnival itu di sini hari ini.
Karnival itu menampilkan pempamer yang mengetengahkan jenis pekerjaan serta kemahiran hijau yang menjadi antara sektor penting dalam kemampanan Ekonomi Hijau Negara termasuk POS Malaysia, Modenas, Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC).
Turut dianjur Karnival Kerjaya Hijau MYFutureJobs 2024 dengan hampir 60 majikan mengambil bahagian antaranya AEON Co (M) Bhd, RHB Bank Bhd, United Solar Energy Malaysia Sdn Bhd dan FGV Holdings Bhd.
Sim juga berkata TalentCorp sedang melaksanakan satu kajian impak terhadap kesan AI, digitalisasi serta ekonomi hijau ke atas pasaran kerja di Malaysia dan laporan interim akan siap dalam tempoh enam bulan.
Beliau berkata laporan itu akan memberi satu kerangka atau panduan bukan sahaja kepada kerajaan dan pembuat dasar untuk merangka polisi yang lebih sesuai tetapi juga syarikat dan pekerja rakyat Malaysia secara amnya untuk mempersiapkan diri dalam mendepani ekonomi abad ke-21.
"Dengan adanya kajian ini, kita akan lihat contohnya apakah kesan ekonomi hijau dan AI kepada pekerjaan sedia ada, apakah kerja yang akan kekal dalam ekonomi baharu ini dan pekerjaan yang mungkin diganti dalam bentuk lain.
"Jadi, dengan kerangka ini baru kita boleh membuat keputusan yang lebih tepat dari segi bentuk latihan yang harus diberikan kepada pekerja kita atau insentif yang harus diberikan kepada syarikat SME (perusahaan kecil dan sederhana) dan rakyat Malaysia," katanya.
Orang ramai dijemput hadir ke Karnival Kemahiran Hijau Kesuma dan Karnival Kerjaya Hijau MyFutureJobs 2024 yang bermula hari ini hingga Sabtu dari 10 pagi hingga 5 petang di pusat beli-belah Avenue K di sini.
Perkeso akan turut mengadakan Karnival Kerjaya MYFutureJobs KESUMA Madani bersempena Hari Pekerja 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya pada 30 April dan 1 Mei ini, yang menawarkan lebih 10,000 jawatan kosong.
Karnival itu akan turut diadakan di beberapa negeri iaitu Kelantan (4 hingga 5 Mei), Johor (5 Mei) dan Sarawak (18 hingga 19 Mei).
-- BERNAMA
#Kementerian Sumber Manusia #KESUMA #Karnival Kemahiran dan Kerjaya Hijau KESUMA 2024 #Steven Sim #peluang pekerjaan
;