Kesuma peruntuk RM2.6 bilion tingkat kemahiran rakyat

Bernama
Jun 30, 2024 21:00 MYT
Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong berucap pada Majlis Kemuncak National Training Week (NTW) 2024 di Stadium Nasional Bukit Jalil hari ini. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) memperuntukkan dana RM2.6 bilion bagi meningkatkan kemahiran setiap lapisan masyarakat di negara ini, kata Menterinya Steven Sim Chee Keong.

Ringkasan AI
  • Kementerian Sumber Manusia memperuntukkan RM2.6 bilion untuk meningkatkan kemahiran masyarakat melalui sumber dari sembilan jabatan dan agensi berkaitan.
  • Peningkatan kemahiran ini bertujuan mencapai sasaran 35% tenaga kerja berkemahiran menjelang 2030 dan membangunkan sektor latihan kemahiran tempatan bertaraf dunia.
  • Majlis Kemuncak Minggu Latihan Kebangsaan (NTW) 2024 diadakan untuk mempromosikan budaya pembelajaran sepanjang hayat dan peluang meningkatkan kemahiran secara percuma.

Beliau berkata dana itu tidak membabitkan peruntukan baharu sebaliknya dengan menggembelengkan sumber daripada sembilan jabatan dan agensi yang berkaitan dalam Kesuma secara bersepadu.
"Tidak mustahil kita bangunkan satu sektor latihan kemahiran tempatan bertaraf dunia dalam ekosistem industri-industri teknologi tinggi bertapak di Malaysia lebih 50 tahun," katanya ketika berucap pada Majlis Kemuncak Minggu Latihan Kebangsaan (NTW) 2024 di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini hari ini.
NTW dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sim berkata Kesuma sememangnya komited dalam peningkatan kemahiran dan latihan semula hingga ke peringkat antarabangsa melalui konsep Malaysia MADANI.
Beliau berkata peningkatan kemahiran rakyat diharap dapat mencapai sasaran negara menghasilkan 35 peratus tenaga kerja berkemahiran menjelang 2030 sekali gus melahirkan masyarakat yang pintar.
NTW 2024 dianjurkan HRD Corp di bawah naungan Kesuma berlangsung di seluruh negara sejak 24 Jun lepas manakala penganjuran di Stadium Nasional Bukit Jalil bermula semalam bertujuan menerapkan budaya pembelajaran sepanjang hayat dalam kalangan rakyat melalui peluang meningkatkan kemahiran dan pembelajaran secara percuma.
-- BERNAMA
#Kementerian Sumber Manusia #KESUMA #tingkat kemahiran #Steven Sim
;