KESUMA laksana kajian semakan semula, pindaan Akta 4 dan Akta 800

Bernama
September 4, 2024 08:00 MYT
Khairul Dzaimee menyampaikan ucapan perasmian pada Konvensyen Pendidikan dan Penyelidikan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 2024 di Bangi semalam. --fotoBERNAMA
BANGI: Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) sedang melaksanakan kajian untuk pindaan ke atas Akta 4 dan Akta 800 dalam usaha memperluaskan liputan dan menambah baik perlindungan di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Ketua Setiausaha KESUMA Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata Akta 4, Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 bagi memberi perlindungan kepada pekerja di sektor tidak formal (syarikat swasta) atau kakitangan kerajaan berstatus kontrak dan sementara serta pekerja asing dan pekerja domestik.
Sementara Akta 800, Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 pula melindungi pencarum yang kehilangan pekerjaan.
"Kita sedang (melaksanakan sesi) libat urus dengan beberapa kementerian dan pihak berkepentingan...kita sasarkan untuk bentangkan hasil kajian serta penambahbaikan yang dicadangkan tahun ini," katanya kepada media.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Konvensyen Pendidikan dan Penyelidikan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 2024, di sini semalam.
Beliau berkata inisiatif untuk melaksanakan kajian ke atas Akta 4 dan Akta 800 adalah selari dengan hasrat KESUMA untuk memperkasakan lagi perlindungan sosial seperti mana prinsip Kerajaan MADANI yang mempunyai elemen empati dan simpati.
"Selain isu keselamatan dan kesihatan di tempat kerja, KESUMA juga mementingkan aspek lain untuk membantu mereka yang telah mengalami kemalangan di tempat kerja dengan cara pemerkasaan sistem keselamatan sosial yang dilaksanakan oleh Perkeso.
"Penambahbaikan sedang dibuat khususnya dari segi proses untuk mendapatkan tuntutan dan ini sedang dipercepatkan oleh Perkeso kerana kemalangan boleh berlaku pada bila-bila masa," katanya.
-- BERNAMA
#KESUMA #perlindungan sosial #perkeso #Khairul Dzaimee Daud
;