KESUMA laksana 80 pembaharuan sejak diterajui Sim
Bernama
April 2, 2024 08:20 MYT
April 2, 2024 08:20 MYT
BUTTERWORTH: Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) telah melaksanakan 80 pembaharuan dalam tempoh 100 hari pertama sejak ia diterajui Menterinya Steven Sim susulan rombakan Kabinet pada Disember lepas.
Sim berkata kesemua pembaharuan yang dilakukan itu meliputi empat tema utama iaitu gaji pekerja, latihan, keselamatan sosial dan tatakelola baik.
"Kita melihat kepada pampasan gaji yang lebih baik, saya sudah umumkan kita akan menyemak semula gaji minimum tahun ini dan mempercepatkan pelaksanaan projek rintis dasar gaji progresif.
"Dari segi latihan, kita telah menandatangani MoU (memorandum persefahaman) dengan 13 penyedia latihan terkemuka dunia seperti Google, Microsoft, LinkedIn, Alibaba Cloud dan sebagainya bagi memberikan ruang lebih besar kepada rakyat Malaysia untuk mengambil pelbagai bentuk kursus melalui Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp)," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Iftar KESUMA MADANI Pulau Pinang di sini semalam.
Di bawah tema keselamatan sosial, Sim berkata Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) telah melancarkan aplikasi telefon pintar Prihatin sebagai pejabatnya ke-55 yang membolehkan pencarum menyemak status caruman bulanan dalam talian.
Menurutnya beliau juga telah mengarahkan semua jabatan dan agensi di bawah KESUMA untuk mendapatkan pensijilan ISO Sistem Pengurusan Antirasuah (ABMS) bagi mewujudkan tatakelola baik.
Bagi jangka masa panjang, katanya aspirasi kementerian itu adalah untuk memberikan perlindungan keselamatan sosial 24 jam kepada pekerja secara menyeluruh di negara ini.
Pada majlis tersebut, Perkeso juga telah membayar faedah berjumlah RM76,243 kepada empat penerima faedah meliputi Faedah Hilang Upaya Kekal serta Faedah Pengurusan Mayat.
Lima ibu tunggal, 36 kanak-kanak merangkumi 23 anak yatim, enam anak angkat program prihatin keluarga angkat (PROTEK) Perkeso dan tujuh anak penerima faedah Perkeso turut menerima sumbangan sempena Aidilfitri.
-- BERNAMA