KESUMA ikrar laksana latihan kemahiran bernilai tinggi kepada rakyat Malaysia
Afiezy Azaman
Mei 1, 2024 11:45 MYT
Mei 1, 2024 11:45 MYT
PUTRAJAYA: Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) berikrar akan berusaha sebaik mungkin untuk pelaksanaan latihan kemahiran bernilai tinggi kepada rakyat Malaysia.
Menurut Menteri Steven Sim Chee Keong, kementerian sedar pampasan upah yang lebih baik berkait rapat dengan keberhasilan yang lebih tinggi dan keberhasilan yang lebih tinggi boleh dicapai dengan kemahiran yang lebih tinggi.
"KESUMA akan memperuntukkan RM2.56 bilion bagi menyediakan pelbagai latihan kemahiran untuk rakyat Malaysia.
"Ada macam-macam kursus dalam pelbagai bidang ditawarkan. Namakan saja, kita ada semuanya termasuk bidang-bidang kemahiran terkini seperti kecerdasan buatan (AI), robotik, teknologi 5G, pengkodan komputer, kemahiran dalam ekonomi hijau dan sebagainya," katanya semasa ucapan Sempena Sambutan Hari Pekerja 2024 di sini, hari ini.
Selain itu, Sim berkata, terdapat juga kursus jangka pendek dan panjang, kursus Sijil Kemahiran Malaysia, kursus sijil makro dan modular, kursus bersemuka, kursus latihan industri, kursus dalam talian dan kursus berbayar dengan harga mampu milik
Tambah beliau, terdapat juga kursus dibiayai dengan levi HRD Corp, kursus boleh dibiayai dengan pinjaman PTPK malah geran KESUMA turut mempunyai kursus percuma.
"We will go all out on skills training. Kita hendak memastikan setiap rakyat Malaysia tidak kira kaum agama jantina, usia, kelulusan akademik, wilayah, mempunyai peluang untuk meningkatkan kemahiran melalui 'upskilling, reskilling dan cross-skilling'.
"Asalkan anda mempunyai kemahuan untuk meningkatkan kemahiran diri, kerajaan MADANI akan membuka peluang seluas-luasnya kepada anda," katanya.