KESUMA anjur forum, pameran kerjaya berasaskan pekerjaan hijau
Bernama
Mac 22, 2024 04:28 MYT
Mac 22, 2024 04:28 MYT
PUTRAJAYA: Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) akan menganjurkan ASEAN Green Jobs Forum 2024 pada April depan dengan kerjasama kerajaan Australia melalui Aus4ASEAN Digital Transformation and Future Skills Initiative, The Asia Foundation dan Sekretariat ASEAN.
KESUMA dalam kenyataan semalam memaklumkan penganjuran forum di peringkat ASEAN pada 24 dan 25 April di Hotel EQ Kuala Lumpur itu bertujuan menggalakkan perkembangan pekerjaan hijau supaya selari dengan keperluan pembangunan ekonomi yang terangkum (inclusive) dan persekitaran mapan di rantau ini.
KESUMA melalui agensinya iaitu Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) juga akan menganjurkan MYFutureJobs Green Job Fair 2024 yang bakal menyediakan 3000 peluang pekerjaan yang ditawarkan oleh majikan daripada syarikat terpilih.
"KESUMA ingin menjemput semua pencari kerja untuk hadir ke program yang akan diadakan pada 25, 26 dan 27 April 2024 di Avenue K, Kuala Lumpur. Program ini menyasarkan golongan pencari kerja daripada pelbagai kategori dan lapisan masyarakat secara umum," menurut kenyataan itu.
Bersempena penganjuran MYFutureJobs Green Job Fair 2024 ini, KESUMA melalui agensinya iaitu TalentCorp juga akan turut menganjurkan Green Skills Fair di Avenue K, Kuala Lumpur.
Program berkaitan kemahiran hijau berkenaan akan melibatkan kementerian dan agensi kerajaan, industri, ahli akademik dan badan bukan kerajaan serta merangkumi pelbagai aktiviti menarik termasuk pameran berkaitan Green Skills.
"Penganjuran acara julung kali yang berpaksikan Green Jobs itu merupakan bukti komitmen KESUMA dalam memperkasa pekerjaan hijau serta peralihan adil, bertepatan ke arah kesediaan Malaysia untuk menjadi pengerusi ASEAN bagi tahun 2025," menurut kenyataan itu.
Pekerjaan hijau atau kemahiran hijau merangkumi kepakaran dan pengetahuan mengenai teknologi bersih, pengurusan sumber dan amalan lestari.
Pekerjaan yang dapat dihasilkan dengan kemahiran hijau termasuk pelbagai profesion yang bertujuan untuk mempromosikan kelestarian alam sekitar dan menangani perubahan iklim yang terdapat dalam pelbagai sektor antaranya pembuatan, pembinaan, dan tenaga boleh diperbaharui.
-- BERNAMA